fbpx
ORANG ramai membelek buku-buku yang ditawarkan di Buku by PJ Preloved House sebelum membuat pemilihan untuk pembelian.

Kedai buku layan diri mudahkan pembelian buku kala pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS mengimbas kod aplikasi MySejahtera di hadapan premis buku yang terletak di dalam Universiti MAHSA di Petaling Jaya, Selangor itu, Hidayati Taib kelihatan mengambil masa sekitar 15 minit untuk meneliti buku-buku yang dijual di premis tersebut.

Hidayati, 23, yang merupakan pelatih di sebuah syarikat swasta kemudian mencapai sebuah buku sebelum menuju ke satu ruangan kecil bersebelahan pintu masuk premis itu dan mengeluarkan telefon pintarnya.

Sama seperti mengimbas kod MySejahtera, Hidayati kemudian membuat imbasan kod QR yang tertera pada dinding ruangan itu untuk membayar harga buku yang dibelinya.

Mudah dan pantas, itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan konsep kedai buku layan diri Buku by PJ Preloved House yang baru beroperasi kurang dua bulan itu.

Menurut Hidayati, dia teruja apabila mendapat tahu kewujudan kedai buku berkonsepkan layan diri itu.

“Ini merupakan kunjungan pertama saya ke sini selepas membaca mengenainya di media sosial Twitter.

“Sejujurnya, saya amat menyukai konsep ini kerana ia amat bertepatan dengan langkah dunia untuk mengurangkan aktiviti berkumpul dan penjarakan fizikal akibat pandemik,” ujarnya.

Malah, Hidayati juga memuji pemilik yang menjual buku-buku tersebut dengan harga yang amat berpatutan.

“Kesemua buku di sini ialah buku terpakai, namun masih berada dalam keadaan elok dan dijual dengan harga yang amat berpatutan,” kata Hidayati kepada K2.

UNTUK membuat pembelian, orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR yang terletak di satu ruang di premis itu dan membuat bayaran tanpa tunai.

Siapa sangka, idea yang pada mulanya bermula sebagai hobi itu akhirnya menjadi tular kerana konsep layan diri yang diketengahkan cukup bersesuaian dengan situasi pandemik yang melanda dunia.

Menurut pemilik Buku by PJ Preloved House, Philip Yong Kee Chung, 32, dia pada mulanya menjual buku terpakai pada April tahun lalu secara online.

Namun, dedahnya, idea untuk membuat jualan buku preloved seperti ini sudah timbul sejak beberapa tahun lalu selepas menyedari bahawa buku baharu adakalanya terlalu mahal.

“Saya merupakan seorang pencinta buku, khususnya genre fiksyen. Namun, saya menyedari bahawa harga buku adakalanya terlalu mahal dan lazimnya menjadi terbiar selepas dibaca.

“Justeru, saya terfikir mengapa tidak saya mengumpulkan buku-buku terpakai dan menjualnya dengan harga berpatutan supaya orang lain juga boleh sama-sama membaca buku tersebut dengan kos yang lebih rendah,” ujarnya.

Selepas mengumpulkan buku daripada kenalannya dan menjual secara online, Philip menyedari bahawa kediamannya pula sudah begitu penuh dengan buku-buku tersebut dan mula terfikir untuk menjualnya secara fizikal.

“Selepas mengumpul terlalu banyak buku, saya menyedari satu lagi masalah lain iaitu saya tidak mempunyai ruang untuk menyimpannya di rumah saya.

“Memandangkan hanya saya seorang yang menguruskan Buku by PJ Preloved House ini, maka saya terfikir untuk menjualnya secara fizikal, namun mengguna pakai konsep layan diri bagi memudahkan orang ramai untuk membelinya.

“Selain itu, ada juga antara pembeli yang lebih suka melihat sendiri buku-buku yang ada sebelum membelinya,” ujarnya yang membuka premis itu secara rasmi pada Januari lalu.

PELBAGAI buku terpakai ditawarkan di premis tersebut termasuk buku masakan dan buku kanak-kanak.

Setiap hari, Philip yang juga merupakan seorang pengurus produk digital di sebuah firma teknologi swasta akan memantau dan menguruskan premisnya itu dari jauh.

Jelasnya, setelah orang ramai memilih buku yang hendak dibeli, mereka hanya perlu mengimbas pada kod QR di satu ruang di premis itu. Apabila imbasan dilakukan, pengguna akan melihat satu pernyataan jumlah harga yang perlu dibayar di telefon bimbit sebelum dihubungkan dengan perbankan online untuk membuat transaksi pembayaran.

“Apabila pembayaran sudah dibuat oleh pengguna, notifikasi akan dihantar ke telefon bimbit saya,” katanya.

Selain konsep layan diri dan pembayaran tanpa tunai, menurut Philip, tarikan utama pada kedai tersebut adalah harga buku berpatutan.

PHILIP

“Semua buku di sini dijual pada harga RM5 dan untuk yang mempunyai pelekat berwarna hijau pula, harganya cuma RM10. Kondisi buku juga kesemuanya masih dalam keadaan baik dan memuaskan,” katanya.

Malah, harga yang ditawarkan itu menjadi selling point terbaiknya apabila pernah menerima seorang pelanggan yang membeli sehingga 80 buah buku di Buku by Preloved House.

“Baru-baru ini, ada seorang pelanggan yang membeli 80 buah buku sehingga terpaksa meminjam beg plastik besar milik premis ini untuk membawa pulang buku-bukunya,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, ketika ini, dia meletakkan 3,000 buah buku di premisnya itu yang kebanyakannya ditukar setiap minggu.

Setiap kali menerima buku terpakai yang didermakan atau dijual rakan-rakan, Philip akan menyemak keadaan buku dan memastikan ia berada dalam keadaan baik sebelum dijual.

“Saya menerima pelbagai jenis buku seperti buku fiksyen, bukan fiksyen, buku masakan, novel berbahasa Melayu sehinggalah buku kanak-kanak.

“Saya gembira kerana dapat memberikan banyak pilihan buku untuk dipilih pelanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN