fbpx
Gambar hiasan

‘Janji dapat RM5,000, penoreh getah lesap RM3,180’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL – Seorang penoreh getah di Rompin, di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM3,180 apabila terpedaya dengan iklan pinjaman tak wujud di internet.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, wanita berusia 36 tahun itu berhasrat untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 dan telah melayari laman sesawang Google sebelum ternampak iklan pinjaman mudah pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa yang berminat telah berhubung dengan ejen bernama Leong Chun Weng melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa telah diminta untuk membuat pembayaran bagi pelbagai urusan lalu dia memindahkan wang melalui tiga transaksi, selepas pembayaran dibuat mangsa dijanjikan akan diberikan pinjaman sebanyak RM 5,000.

“Bagaimanapun mangsa masih diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM 1,000. Mangsa kemudiannya mahu membatalkan pinjaman, namun tidak dilayan serta panggilan juga disekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan kes lain, Chang Hook berkata, seorang lagi wanita berusia 44 tahun di Bahau juga mengalami kerugian sebanyak RM3,780 apabila terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang ahli perniagaan telah menerima panggilan telefon mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kira-kira 12 tengah hari semalam.

“Mangsa diberitahu memiliki tunggakan cukai sebanyak RM 98,666.98 dan menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan syarikat yang menggunakan identitinya menjalankan kegiatan jual beli dadah dan meminta mangsa membayar duit jaminan RM5,000 dan jika gagal dia akan ditangkap,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

POPULAR