fbpx

PRU15, tidak hanya bersandar jerit pekik kumpulan kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa - FOTO FAISOL MUSTAFA

PETALING JAYA – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak boleh diadakan hanya berdasarkan jerit pekik sekumpulan kecil penyokong Barisan Nasional (BN) yang sedang dalam euphoria kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, PRU bukan perkara kecil apatah untuk membubarkan sebuah kerajaan yang sedang memerintah dengan mandat daripada hampir seluruh ahli Dewan Rakyat.

“Kebetulan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili parti minoriti (UMNO) dalam parlimen.

“Kerajaan sedia ada bukan kerajaan satu parti. Justeru perbincangan dalam kerajaa wajib diambil kira. Selain itu peraturan dan peruntukan dalam Perlembagaan juga wajib diambil kira,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam laungan “bubar Parlimen” bergema di perkarangan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan BN menang PRN Johor dengan majoriti besar.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia seterusnya mengingatkan, berbanding PRU pimpinan UMNO Melaka dan Johor tahu kesiapsiagaan mereka apabila PRN mahu diadakan.

Menurut beliau, mereka boleh bersandarkan sokongan serta dokongan ibu pejabat UMNO dan lebih besar lagi daripada Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Agensi, Menteri Besar dan Ketua Bahagian.

“Jentera ini tidak terlawan oleh mana mana parti apa lagi dengan kekuatan daripada Perdana Menteri dan kerajaan itu sendiri. Dalam PRU situasi ini tidak akan berlaku. Semua kawasan sibuk menjaga kawasan masing masing.

“Sekiranya persiapan terutama sumber dan kewangan tidak mencukupi seluruh jentera lumpuh. Dalam PRN Johor terdapat kawasan daif bekalan, tiada komputer riba tiada modem, malah sistem SMPR ibu pejabat parti gagal berfungsi pada hari mengundi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, tarikh pembubaran Dewan Rakyat mesti menjadi rahsia besar parti memerintah dan menjadi hak budi bicara Perdana Menteri.

“Pucuk pimpinan tertinggi parti (UMNO) harus berbincang dengan teliti dan boleh memberi pandangan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau menambah, Perdana Menteri perlu juga prihatin kepada sentimen rakyat dan di Melaka dan Johor sentimen rakyat mendokong keputusan negeri justeru mereka memberi undi.

‘Di pusat sentimen ini perlu di teliti. Sekiranya berbuat sesuatu lain dari sentimen rakyat mereka akan memberi reaksi melalui peti undi.

“Saya bersetuju masa sudah tiba masa untuk persiapan PRU dibuat. Bila tarikhnya terserah kepada budi bicara Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Kerja Tertinggi (UMNO).

“Yang pasti BN perlu benar benar bersedia dan di saat rakyat majoritinya bersama kita. Buat masa ini ada baiknya kita teliti dulu semua perkara,” katanya.

Dalam hantaran berlainan, beliau berkata, masa yang sesuai untuk PRU15 apabila UMNO berjaya menyatukan saf politik orang Melayu agar tidak terjun dalam suasana bercerai berai.

“Tertubuhnya UMNO adalah dengan tujuan menyatupadukan kekuatan orang Melayu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI