fbpx
Inspektor Kesihatan menerangkan SOP PRN kepada wanita yang positif Covid-19 selepas keluar untuk mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru di sini hari ini.

PRN Johor: Wanita positif Covid-19 dikompaun RM1,000 keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang pengundi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu, di sini hari ini.

Tindakan itu diambil oleh Inspektor Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru setelah membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah.

Menurut wanita tersebut, beliau tidak mengetahui tidak boleh datang untuk membuang undi ketika masih menjalani kuarantin setelah didapati positif Covid-19.

Katanya, berlaku salah faham setelah orang terdekatnya memberitahu dia masih boleh mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

Dalam pada itu, Inspektor Kesihatan, Mohd. Azrul menjelaskan kepada wanita itu bahawa semua individu yang positif tidak boleh keluar mengundi untuk menunaikan hak demokratik tersebut.

Katanya, mana-mana individu yang positif Covid-19 wajib menjalani kuarantin dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebagai individu yang didapati positif, awak tidak boleh keluar rumah langsung apatah lagi untuk keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah di dalam pusat mengundi.

“Kami menawarkan kompaun sejumlah RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh masa 14 Hari,” katanya ketika menerangkan situasi itu kepada ibu wanita terbabit.

Inspektor Kesihatan itu mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas mengeluarkan kompaun tersebut.

Wanita berkenaan yang hadir bersama ibunya ke pusat mengundi itu terus pulang ke rumah seorang diri.-KOSMO! ONLINE

POPULAR