fbpx
KENDERAAN ini mempunyai rekaan luaran yang nampak sporty.

Kereta elektrik hibrid BMW 330e M Sport boleh undur sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENERASI ketujuh BMW 3 Siri dipertontonkan kepada umum pertama kali di Paris Motor Show, Perancis pada tahun 2018 dengan kod G20.
Kod pada setiap model kereta buatan syarikat Jerman ini memang suatu yang boleh dikatakan sinonim dalam kalangan peminatnya.
Terdahulu, BMW 3 Siri generasi pertama dengan kod E21 diperkenalkan pada tahun 1975.
Tujuh tahun selepas itu generasi kedua diperkenalkan dengan kod E30 diikuti generasi ketiga dengan kod E36 pada tahun 1990. E46 yang merupakan generasi keempat pula diperkenalkan pada tahun 1997.
Pada tahun 2004, generasi kelima dengan kod E90 pula dilancarkan. Generasi keenam BMW 3 Siri tidak lagi menggunakan kod E sebaliknya beralih kepada F30 pada tahun 2011 sebelum kod G20 diberikan kepada generasi ketujuh.
Pada bulan Oktober 2020, BMW Malaysia telah melancarkan salah satu BMW 3 Siri generasi ketujuhnya iaitu model 330e M Sport yang merupakan kenderaan elektrik hibrid (PHEV) yang dipasang di Malaysia.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk memandu uji model itu selama beberapa hari. Model pandu uji dengan warna Mineral Grey ini dilengkapi dengan pakej M Aerodynamics yang hadir sebagai standard.

KERETA sedan segmen C ini menggunakan tayar jenis runflat.

Kereta ini juga hadir dengan rim bersaiz 18 inci menggunakan tayar jenis runflat. Sejujurnya penulis rasa rekaan rim ini agak kurang sepadan dengan kereta ini yang nampak sporty. Rim bagi tayar hadapannya juga mempunyai kelebaran yang lebih kecil sedikit berbanding rim tayar belakang.
Rupa kereta ini semakin terserlah apabila menggunakan lampu hadapan LED adaptif yang lebih panjang dan lampu belakang lebih nipis jenis LED 3D.
Bahagian luaran memang nampak kemas dan sporty yang turut dilengkapi tempat caj bateri di bahagian dapra kiri.

RUANGAN dalamannya nampak begitu elegan dengan tempat duduk kulit jenis Vernasca Black.

Masuk ke ruang kabin, bahagian pemandu hadir dengan stereng kulit berlencana M. Kemasan aluminium memberikan imej sporty di samping ruang dalaman berwarna gelap. Bahagian tempat duduk pula menggunakan kulit jenis Vernasca Black.
Selain itu, kereta sedan segmen C ini juga hadir dengan ciri-ciri BMW Live Cockpit Professional. Dua paparan bersaiz 12.3 inci dan skrin sentuh 10.25 inci berfungsi sebagai panel meter dan sistem infotainment. Sistem audio dengan 10 pembesar suara dan amplifier pasti membuatkan pemandu dan penumpang dapat menghayati lagu-lagu yang dimainkan.
Ciri-ciri menarik lain yang dapat membantu pemandu ialah sistem Driving Assistant Professional dan bantuan parkir untuk memudahkan pemandu memarkir kereta ini.
Satu lagi ciri yang penulis rasa menarik ialah bantuan mengundur. Menerusinya, kereta ini boleh mengundur sendiri kerana menyimpan memori 50 meter perjalanan terakhir. Bagi penulis, ciri ini amat membantu terutama apabila mahu keluar dari kawasan yang sempit.

KERETA dalam keluarga BMW 3 Siri ini mempunyai tarikan tersendiri dengan kemampuan penjimatan bahan api yang pasti menjadi salah satu sebab sesetengah pengguna menjadikannya sebagai kenderaan pilihan untuk dimiliki.

BMW 330e M Sport ini menggunakan enjin 2.0 Twin Power Turbo dengan teknologi XtraBoost dan transmisi lapan kelajuan automatik. Model PHEV ini turut dibantu dengan kuasa yang terhasil daripada enjin elektrik iaitu sebanyak 83kW. Kombinasi dua enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 292hp dan tork tertinggi 420Nm.
Penulis difahamkan kereta ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksimum dicatatkan ialah 230km/j. Penggunaan bahan api juga agak menjimatkan kerana hanya menggunakan 2.2 liter petrol bagi perjalanan sejauh 100 kilometer. BMW 330e M Sport ini menggunakan tangki petrol bersaiz 40 liter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN