fbpx

Sindiket PLKS: Empat termasuk Datuk didakwa sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri Abu Yazid, Ab. Aziz bersama peguam mereka Md. Yunos dan belakang kanan Muhammad selepas prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama tiga individu didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen hari ini dengan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan
sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Kesemua mereka terdiri Datuk Ab. Aziz Abdullah, 44 dan abang iparnya Muhammad Semail, 43 selain Abu Yazid Mohd, 38, dan Mohd. Hariza Mohd. Yusof, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ab.Aziz didakwa sembilan pertuduhan iaitu memiliki empat jam tangan jenama Rolex dan lima rumah termasuk jenis apartmen dan kondo dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.68juta.

Muhammad pula didakwa dua pertuduhan menggunakan wang termasuk dua keping cek yang kesemuanya berjumlah RM854,513.9 bagi pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dan kereta jenis Bentley Continental.

Bagi Mohd. Hariza didakwa enam pertuduhan memiliki dua buah rumah, sebuah jam tangan rolex dan kereta Mercedes Benz E250 yang berjumlah RM886,650 selain wang tunai RM137,250 dan pelbagai mata wang asing seperti Arab Saudi Riyal 1,590; Baht Thailand 18,400; China Yuan 1650 serta AS$2045.

Sementara itu, Abu Yazid yang difahamkan bekas pegawai Imigresen berdepan empat pertuduhan merangkumi memperoleh dua unit apartmen bernilai RM446,399 menerusi lima keping check masing-masing dari Ab. Aziz dan dua sebuah syarikat serta memiliki wang tunai RM44,400 dan Arab Saudi Riyal 7,900.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Taman Ukay Perdana, Taman Ukay Bistari, Taman Subang Perdana, Sungai Buloh, Jalan Cheras, Wisma Central Jalan Ampang dan Prima Selayang antara 3 Februari 2016 hingga 6 April tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memohon menggunakan jaminan yang telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan memindahkan kes di mahkamah sama. Peguam Md. Yunos Sharif mewakili kesemua tertuduh tidak membantah permohonan tersebut.

Berdasarkan jaminan dikeluarkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah masing-masing Ab. Aziz diikat jamin RM400,000, Muhammad dan Mohd. Hariza masing-masing RM250,000 manakala Abu Yazid sebanyak RM150,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 20 April depan.

Kosmo! semalam melaporkan Ab. Aziz didakwa 41 pertuduhan ; Anita (15 pertuduhan) ; Muhammad (11 pertuduhan) ; Abu Yazid (tiga pertuduhan) dan Mohd. Hariza (sembilan pertuduhan) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dalam prosiding di mahkamah tersebut, Muhammad turut didakwa bersama Abu Yazid manakala Mohd. Hariza bersama Ab. Aziz masing-masing dengan satu pertuduhan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI