fbpx

Josiah Hogan risau anak jadi mangsa pedofilia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOSIAH HOGAN

SETIAP orang punya cara tersendiri dalam menjaga privasi keluarga, terutama membabitkan perkongsian dalam laman sosial.

Seperti yang dipraktikkan pelakon Josiah Hogan, bapa kepada empat cahaya mata itu mungkin berbeza dengan rakan seperjuangan lain apabila mengambil pendekatan hanya sesekali mendedahkan gambar anak-anaknya menerusi medium maya.

Sebagai bapa, Josiah berasa bertanggungjawab menjaga keselamatan permata hati yang sedang membesar, sekali gus mengelakkan risiko menjadi sasaran individu berniat jahat.

“Saya akui memang sangat menjaga privasi anak-anak yang berusia antara dua hingga 16 tahun kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Bukan paranoid, sebaliknya lebih berwaspada memandangkan dalam laman maya, kita terdedah kepada sebarang kemungkinan, terutama isu web pedofilia yang mencari kanak-kanak sebagai mangsa.

“Saya tak mahu gambar mereka ‘dicuri’ individu sedemikian untuk diletakkan dalam laman web yang tidak sepatutnya seperti dialami seorang teman artis tidak lama dahulu.

“Lebih baik berhati-hati demi anak-anak.

“Kalau saya kongsi pun biasanya gambar beramai-ramai atau dengan seisi kekuarga,” katanya.

Aktor berdarah campuran Melayu-Amerika Latin itu dengan jururawat, Nurul Hidayu Mohamed Nordin yang dibina pada 2013 diserikan dengan tiga orang puteri.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Josiah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 16 tahun, Irvine.

JOSIAH HOGAN memilih tidak terlalu mendedahkan kehidupan anak-anak dalam media sosial kerana bimbangkan risiko menjadi mangsa pedofilia.

Keutamaan

Bercerita mengenai kerjaya seni, aktor filem The Disappearance of Irdina Adhwa itu mengakui tidak lagi mengejar kemasyhuran seperti kemunculan awal sekitar 12 tahun lalu.

Katanya, ketika itu sebagai orang baharu, dia perlu mengukuhkan nama bagi mencari tapak dalam arena seni yang diterokai termasuk lakonan, pengacaraan serta cabang muzik.

Seiring perkembangan semasa, kematangan dan tanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga, katanya soal bayaran juga sebagai elemen yang diambil kira sebelum mempersetujui sesuatu tawaran kerja.

“Sekarang bukan masa mengejar populariti kerana untuk saya, era tersebut sudah berlalu. “Kini saya mendepani fasa berbeza, mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya tak kisah andai wajah saya jarang menghiasi slot perdana asalkan ‘job’ lakonan tidak putus selain bersyukur masih mendapat kepercayaan penerbit biarpun ramai muka baharu muncul.

“Boleh dikatakan sekarang saya utamakan produksi yang menawarkan bayaran lebih tinggi. Maknanya walaupun bukan hero, saya terima saja, janji bayaran berbaloi.

“Tapi kalau ada dua tawaran datang serentak, antara watak sampingan dan teraju utama, saya tentu pilih watak utama kerana bayarannya lebih tinggi,” katanya lagi.

Memaklumkan rezekinya tidak putus selepas industri seni dibuka semula sebaik fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga berakhir, Josiah tetap yakin terhadap perkembangan arena seni tanah air.

Josiah turut menyifatkan dirinya antara penggiat seni bertuah kerana sempat menyelesaikan penggambaran sebelum fasa PKP bermula dan meraih pula beberapa tawaran projek baharu.

“Alhamdulillah saya dapat selesaikan penggambaran tiap kali sebelum fasa pelaksanaan PKP, jadi dapatlah saya tampung keperluan kami sekeluarga.

“Apabila ada rakan di belakang tabir yang terjejas, jika ada lebih, saya kongsikan rezeki sekadar termampu kerana memahami situasi mereka terutama yang berkeluarga,” katanya.

Menyambung perkembangan seninya, Josiah bercerita tentang penggambaran naskhah aksi thriller The Disappearance of Irdina Adhwa yang dapat sempurnakan tahun lalu biarpun berdepan banyak cabaran seperti perlu menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tawar diri

Menerusi filem tersebut yang disiarkan menerusi Astro First sejak 24 Februari lalu, Josiah membawakan watak pembunuh yang membalas dendam atas kematian adiknya.

Dia puas dapat menjayakan sendiri banyak aksi lasak dan pertarungan tanpa menggunakan khidmat pelakon pengganti.

“Saya sendiri yang menawarkan diri untuk melakukan aksi lagak ngeri kerana terlalu ekstrem atau membahayakan walaupun pertarungan menggunakan senjata sebenar.

“Saya meminta kebenaran pengarah melakukan sendiri babak lasak kerana tidak mahu penonton nampak perbezaan pada sosok tubuh sekiranya menggunakan khidmat pelakon pengganti.

“Mungkin paling sukar adalah babak memanah yang memerlukan saya dan Alicia Amin mengikuti kelas memanah selama lapan hari di Wangsa Maju supaya tidak nampak kekok.

“Sebenarnya ada juga adegan mencemaskan antara kami iaitu ketika babak saya mengejarnya dengan pisau.

“Alicia terjatuh sampai kakinya bengkak selepas saya tersepaknya disebabkan lantai licin,” kongsinya.
Filem arahan Kyle A. Halim berkenaan turut membariskan Syazuwan Hassan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI