SEBUAH troli kayu usang selebar gerabak kereta api yang sarat dengan buku-buku dan papan putih meluncur perlahan di atas landasan kereta api di perkampungan Tagkawayan, wilayah Quezon, Filipina.
Di belakang troli tersebut, kelibat dua orang guru kelihatan gigih menolak dan mengayuh troli itu bagi memastikannya bergerak.
Biarpun pada waktu itu matahari tegak di atas kepala, namun mereka tetap meneruskan ‘kayuhan’ untuk ke destinasi. Misi mereka cuma satu, mahu membantu kanak-kanak yang keciciran pelajaran mendapat akses pendidikan asas.
Merupakan kelas bergerak, troli yang dilengkapi papan putih, carta mengajar dan timbunan buku-buku itu akan disorong dari satu kampung ke satu kampung di atas rel lama yang jarang digunakan di kawasan perkampungan terlibat.
Guru-guru akan melakukan kunjungan ke kampung-kampung berkenaan tiga kali seminggu bagi memberikan pendidikan kepada kanak-kanak miskin ketika era pandemik Covid-19.
Bergerak di atas rel di perkampungan berhampiran pekan Tagkawayan, kenderaan sederhana besar itu membawa empat guru muda pada satu-satu masa dengan dua orang di depan memegang bahan mengajar, manakala dua di belakang menyorong troli menggunakan kaki untuk menemui 60 murid di kawasan pedalaman tersebut.
Tagkawayan yang terletak kira-kira 176 kilometer di tenggara Manila merupakan antara kawasan yang pembelajaran kanak-kanaknya terjejas teruk ekoran pandemik.
Sejak penularan Covid-19, sekolah di Filipina ditutup menyebabkan sistem pendidikan lumpuh dan kanak-kanak terutama daripada keluarga miskin tidak mendapat akses pendidikan sempurna.
Dilaporkan sejak sesi pembelajaran dijalankan secara online terhadap 27 juta kanak-kanak di sana, para pelajarnya berdepan pelbagai cabaran.
Selain kualiti pendidikan negara itu yang dikatakan tidak bersifat sama rata, ketiadaan peranti di rumah seperti komputer, telefon bimbit dan internet menjadi punca utama kanak-kanak ini tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran secara maya.
Sesetengah mereka terpaksa memanjat bumbung rumah untuk mendapatkan capaian internet.

Bukan sahaja masalah infrastruktur, ibu bapa yang tidak mempunyai kebolehan mengajar anak-anak sama seperti guru juga menyebabkan sistem pembelajaran terganggu memandangkan rata-rata mereka tidak berpendidikan.
Kebanyakan ibu bapa mendakwa, anak-anak mereka tidak mendapat pelajaran yang diinginkan dan sudah mula hilang minat untuk bersekolah.
Jurucakap pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pendidikan di Filipina, Philippine Business for Education, Marie Adelle Banta berkata, tidak semua pelajar di negara itu mempunyai akses kepada sumber pembelajaran yang sama boleh didapati di dalam kelas.
“Pembelajaran secara jarak jauh memerlukan gajet dan capaian internet yang baik. Bagaimanapun dengan masalah kemelesetan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi, kebanyakan isi rumah berdepan kesukaran untuk menyediakan keperluan pembelajaran yang mencukupi buat anak-anak mereka.
“Malah, kajian yang kami jalankan mendapati, setiap seorang daripada empat ibu bapa mengatakan mereka fikir anak mereka tidak belajar dalam persekitaran semasa,” katanya.
Tambahnya, selain memberi tunjuk ajar, ibu bapa juga berasa mereka terbeban kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai guru, selain mengatur pengambilan modul dan menguruskan bilik darjah di rumah.
Ini semua perkara yang asing bagi mereka dan tidak pernah berlaku sebelum pandemik.
Melihatkan situasi kanak-kanak terutamanya dari keluarga susah di sekitar perkampungan berhampiran pekan Tagkawayan itu yang gagal mendapat akses internet, sekumpulan sukarelawan mengambil inisiatif mewujudkan sekolah troli dengan memanfaatkan landasan sedia ada di situ.

Sejak November tahun lalu, para pendidik terdiri daripada golongan sukarelawan tampil menawarkan khidmat tersebut.
Menolak troli seperti skuter, guru yang merupakan para sukarelawan itu mengajar membaca dan Matematik kepada murid-murid berkenaan.
Bahan-bahan pengajaran itu didapati daripada sumbangan orang ramai, manakala sebahagiannya turut diambil daripada bilik darjah.
Setiap kali troli tersebut berhenti, guru-guru yang terlibat akan mengalihkan troli dari landasan bagi memberi laluan kepada pengguna lain menggunakan laluan tersebut.
Papan putih kemudian dipacak di atas tanah dan sesi pembelajaran dimulakan.
Mereka memulakan sesi pembelajaran dengan mengajar ejaan sebelum beralih kepada aktiviti kira-kira menggunakan kad imbas.
Menurut guru pengasas sekolah troli, Samboy De Leon Niala, menerusi inisiatif tersebut, seramai 10 orang sukarelawan terlibat dengan misi mahu membantu kanak-kanak memerlukan dan keciciran dalam pelajaran.
“Kesemua sukarelawan yang ditugaskan sebagai guru dalam projek ini merupakan bekas pelajar saya. Mereka datang dan meminta saya memulakan projek komuniti untuk pelajar-pelajar ini kerana kasihan melihat pembelajaran yang telah lama terganggu dek pandemik.
“Jadi, saya menyarankan, mengapa tidak kita menggunakan troli pengangkutan dan menukarnya menjadi sebuah kelas untuk sesi pembelajaran?
“Kita tidak perlu membazirkan masa untuk bergerak, sebaliknya menggunakan troli tersebut untuk melawat pelajar-pelajar dan terus menjalankan sesi pembelajaran di kawasan berkenaan.
“Sepanjang penubuhan sekolah troli ini, saya dapat lihat kanak-kanak ini begitu bersemangat menimba ilmu. Bagaimanapun, kesusahan hidup menyebabkan mereka terhalang untuk belajar, apatah lagi mencapai kejayaan dalam hidup,” jelasnya.
Sama seperti kereta api, ‘sekolah beroda’ itu akan berhenti di kampung-kampung terlibat. Di sinilah, para sukarelawan mencurahkan ilmu dan mengalu-alukan kedatangan pelajar.
Menurut seorang sukarelawan, Shaira Bearden, pendekatan baharu yang dilakukan itu sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak ini daripada masalah keciciran dalam pelajaran.
“Inisiatif ini penting, terutama dalam situasi pandemik semasa yang menyebabkan kanak-kanak tidak dapat menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka.
“Adalah penting untuk kita melakukannya terutama sewaktu pandemik ini dan kanak-kanak tidak boleh belajar dengan sempurna secara bersemuka,” tuturnya.
Biarpun Filipina kini memulakan sesi pembelajaran di sekolah secara berperingkat, namun inisiatif tersebut masih lagi diteruskan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak kurang bernasib baik itu.














