fbpx
RANCANGAN-RANCANGAN ditawarkan di platform penstriman ini menyajikan animasi-animasi yang dapat mendidik kanak-kanak di seluruh dunia tentang nilai-nilai murni berkonsepkan Islam.

Platform strim anak Malaysia takluk dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PLATFORM penstriman Durioo+ itu boleh diibaratkan seperti Netflix atau Disney+ versi rancangan-rancangan animasi Islamik yang menyasarkan tontonan 109 juta kanak-kanak Muslim di seluruh dunia.

Apa yang menarik dan membanggakan, platform itu hsil tangan anak Malaysia melalui syarikat Durioo Sdn. Bhd. (Durioo) itu menyajikan pelbagai kandungan berbentuk animasi dan bukan animasi khusus buat kanak-kanak Muslim.
Platform itu menawarkan pelbagai rancangan dengan lebih 100 episod khusus buat kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun.

Individu bertanggungjawab menubuhkan Durioo+ ialah Sinan Ismail yang juga pengasas Durian Digital (DD Animation Studio) iaitu syarikat membangunkan siri animasi popular Didi & Friend dan Omar & Hana.
—————————————————————————————————————————————————-
DARI satu sudut di ruang tamu rumah, lelaki berusia 38 tahun itu melihat kelibat tiga anak kecilnya yang asyik menonton video animasi Omar & Hana menerusi televisyen.

Mohd. Nur Hakim Bahaman jelas teruja melihat anak bongsunya, Najla yang berusia lima tahun cuba meniru aksi Omar dalam video animasi tersebut membaca doa sebelum makan.

Alangkah terkejutnya Mohd. Nur Hakim apabila melihat Najla sudah boleh menghafal doa tersebut dengan menonton rancangan animasi itu secara berulang kali.

Saat itulah lelaki berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini sedar bahawa rancangan animasi memainkan peranan besar dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak.

Malangnya, video-video animasi bermanfaat dan berbentuk islamik bagi kanak-kanak sangat terhad sama ada di dalam YouTube mahupun platform penstriman lain.

“Sebagai bapa, saya memantau rapat apa yang ditonton oleh anak-anak. Hal ini kerana saya sedar bahawa kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dengan animasi ditonton.

RANCANGAN animasinya turut dialih bahasa dalam pelbagai bahasa untuk tontonan masyarakat pelbagai bangsa di dunia.

“Masalahnya, video animasi bermanfaat dan bersesuaian dengan kanak-kanak Muslim agak terhad. Video animasi yang mengetengahkan nilai Islam itu boleh dibilang dengan jari tetapi permintaannya sangat tinggi,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Bagaimanapun, permasalahan Mohd. Nur Hakim serta jutaan ibu bapa Muslim lain di seluruh dunia ini akhirnya terlerai pada bulan lalu selepas wujudnya platform Durioo+.

Platform Durioo+ telah dilancarkan secara rasmi sewaktu Ekspo Dubai 2020 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Februari lalu.

Platform penstriman dikelolakan syarikat dari Malaysia, Durioo Sdn. Bhd. (Durioo) itu menyajikan pelbagai kandungan berbentuk animasi dan bukan animasi khusus buat kanak-kanak Muslim. Platform itu menawarkan pelbagai rancangan dengan lebih 100 episod khusus buat kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun.

Mohd. Nur Hakim memaklumkan, dia berasa lega dan tenang selepas mengetahui ada sebuah syarikat tempatan menawarkan platform khusus buat kanak-kanak Muslim.

“Saya sudah langgan Durioo+ selama sebulan untuk tontonan anak-anak. Alhamdulillah, platform ini menawarkan apa yang didambakan oleh ibu bapa.

“Jalan cerita animasi dan bukan animasi di platform ini cukup menarik tanpa mengabaikan mesej-mesej positif. Bahkan, diselitkan zikir, doa dan nilai murni dalam Islam,” ujarnya.

Individu bertanggungjawab menubuhkan Durioo+ ialah Sinan Ismail yang juga pengasas Durian Digital (DD Animation Studio) iaitu syarikat membangunkan siri animasi popular Didi & Friend dan Omar & Hana.

PLATFORM Durioo+ dilancarkan pada Ekspo Dubai 2020 di UAE oleh Annuar (dua dari kiri) Februari lalu.

Kedua-dua siri animasi berkenaan telah menjadi fenomena dengan meraih kejayaan global dan memperoleh lebih daripada 7 juta pengikut di saluran-saluran YouTube.

Sinan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Durioo berkata, platform itu diwujudkan bagi menyediakan kandungan islamik berkualiti tinggi dan bermanfaat kepada kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia, malah luar negara.

“Hasil kajian dilakukan, kami dapati rata-rata ibu bapa Muslim menghadapi masalah untuk menyediakan bahan animasi yang berbentuk Islamik dan bermanfaat.

“Permasalahan ini telah memberi idea kepada kami untuk membangunkan Durioo+. Platform ini lebih selamat bagi membantu membina asas kukuh penonton kami menerusi kandungan pendidikan tentang nilai dan kebaikan Islam,” katanya.

Menariknya, platform Durioo+ bakal menjadi batu loncatan memantapkan kedudukan Durioo sebagai pengeluar animasi kanak-kanak Muslim di samping memainkan peranan dalam ekosistem animasi digital di Malaysia.

Menurut Sinan, Durioo+ berhasrat menjadi platform bertaraf dunia seperti Netflix dan Disney+ dengan hanya menyasarkan kepada 109 juta kanak-kanak Muslim di seluruh dunia.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Durioo+ menjadi jaguh dunia. Malah, animasi kami seperti Omar & Hana turut ditonton anak pemain bola sepak Perancis, Paul Pogba,” katanya.

Mengulas mengenai inspirasi menghasilkan kandungan berciri Islam, Sinan berkata, segalanya dicetuskan arwah bapa yang juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jelasnya, arwah bapa berulang kali mengajaknya menghasilkan animasi Islamik, namun terpaksa menolaknya memandangkan keadaan kewangan masih belum mengizinkan ketika itu.

KEWUJUDAN platform penstriman ini menyemarakkan lagi industri penyediaan kandungan Islamik untuk ditonton oleh 109 juta kanak-kanak Muslim di seluruh dunia.

“Arwah meninggal dunia pada tahun 2014. Berbekalkan harapan arwah bapa, saya meneruskan impian menghasilkan animasi bermanfaat untuk penonton bermula dengan Omar & Hana,” katanya.

Durioo+ membawa lebih daripada lebih 12 rancangan animasi yang bukan sahaja dihasilkan di bawah jenama Durioo Originals tetapi juga kerjasama dengan syarikat penerbitan luar dan pembelian hak penyiaran.

“Menerusi usaha ini, kami dapat menyemarakkan lagi industri penyediaan kandungan Islamik.

“Bagi menarik lebih ramai penonton, rancangan-rancangan dalam Durioo+ ini hadir dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Indonesia, Perancis, Urdu, Inggeris, Cina dan Arab,” terangnya.

Antara rancangan diketengahkan dalam Durioo+ adalah Mina Mila, Little Ammar, Abibi, Bubu Lala, The Challengers, Move It Move It, Stories of The Prophets, Surprise dan Zehni.

Sinan berkata, pihaknya merancang menampilkan 30 kandungan baharu setiap minggu bagi memberikan pengguna lebih banyak pilihan kandungan untuk ditonton.

POGBA berkongsi di Instagram miliknya foto dirinya menonton animasi Omar & Hana yang turut menjadi tontonan kegemaran anaknya.

Durioo+ menawarkan langganan dengan kos bulanan hanya RM12.90 atau langganan tahunan pada harga RM129.90. Durioo+ juga menawarkan percubaan percuma selama 7 hari.

Pengguna boleh memuat turunnya di kedua-dua gedung aplikasi iOS dan Android termasuk Apple TV dan Android TV
Tambah Sinan, pihaknya menyasarkan sebanyak satu juta pelanggan Durioo+ dari seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun mendatang.

“Rancangan dalam Durioo+ ini sama sekali tidak akan ditayangkan menerusi YouTube tetapi ada beberapa rancangan dalam platform ini ditayangkan dalam televisyen tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN