fbpx

Mosti perkasa perniagaan ‘start-up’ tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Adham (tengah) ketika mengunjungi ruang kerja bersama di Medini 6, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan program siri jelajah MyStartup anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang bertujuan untuk memperkasa ekosistem dan komuniti ‘start-up’ di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya turut melancarkan dua geran pembangunan bersyarat iaitu CIP Spark dan CIP Sprint yang menyasarkan golongan sasar berbeza.

Katanya, selain pembiayaan berbentuk dana, pemohon kedua-dua geran itu juga akan menerima sokongan tambahan lain seperti bimbingan kemahiran, pengesahan pasaran dan akses kepada pasaran.

“Geran pembangunan CIP Spark menawarkan pembiayaan kepada individu, syarikat persendirian, perkongsian liabiliti terhad dan syarikat jenis sendirian berhad.

“Manakala bagi CIP Sprint pula, ia menawarkan pembiayaan kepada syarikat jenis sendirian berhad termasuk syarikat milikan universiti dan institusi pendidikan yang mana kedua-duanya melibatkan tempoh pembiayaan selama 18 bulan,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di Medini 6, di sini hari ini.

Tambah beliau, selain Johor, program itu akan turut diadakan di beberapa negeri lain termasuklah Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan juga Sarawak.

“Inisiatif ini dilaksana kerana memahami kesukaran sesebuah perniagaan khususnya yang baharu untuk berjaya tanpa sebarang sokongan dan bantuan.

“Mosti komited memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat daripada usaha pemerkasaan dan pembangunan perniagaan ‘start-up’,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI