PETALING JAYA – Sering kali tular video memaparkan penunggang motosikal ‘menyelit’ masuk ke laluan kenderaan lain sehingga pengguna lebuh raya yang berada belakang terpaksa membayar caj perkhidmatan sebanyak dua kali.
Berbeza dengan situasi yang dikongsikan pengguna TikTok @ann8nadzri semalam, rakaman berdurasi 20 saat itu menyaksikan seorang penunggang dan pembonceng sebuah motosikal ingin membuat pembayaran tol sewaktu melalui laluan Touch ‘n Go.
Situasi itu sempat dirakam oleh individu yang berada di dalam kenderaan belakang dan dapat dilihat pembonceng itu telah beberapa kali cuba menyentuh kad Touch ‘n Go pada bahagian sensor namun palang tidak berjaya dibuka.
Sehubungan itu, seorang pekerja yang sedang bertugas di kaunter tersebut menegur mereka dan meminta kedua-duanya untuk keluar melalui laluan kecil di tepi palang tol berkenaan.
Tindakan dua wanita itu turut menerima pujian daripada orang ramai walaupun situasi yang berlaku mencuit hati pengguna media sosial yang lain.
“Bagus dua orang wanita ini, tak ambil kesempatan masa kenderaan lain lepasi tol, sanggup tunggu giliran dan ingin bayar, terbaik la,” kata Zahin Azmi.
“Mungkin mereka silap laluan, atau kali pertama naik motor lalu lebuh raya, tapi apa-apa pun pengguna yang tidak mempergunakan orang lain, sebab dah banyak kes penunggang motosikal selit celah kereta, dan akhirnya orang lain kena bayar tol dua kali,” luah Yazid.
“Saya pernah buat macam ini, sebab laluan motor di lebuh raya kurang selamat, jalan kurang elok, bahaya bila waktu malam, untuk elak berlaku perkara tak diingini, saya ikut laluan kenderaan lain, harap ada faham situasi kami,” ujar Syed Ali Nor. – KOSMO! ONLINE
















