fbpx

Untung jual minyak peket hanya 5 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAUZI (kanan) dan Siti Aishah menunjukkan bekalan minyak peket yang terhad di Pasar Besar Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Peniaga-peniaga runcit di Pasar Besar Alor Setar di sini, mengeluh kerana keuntungan yang diperoleh daripada menjual minyak masak peket sekilogram (kg) hanya lima sen bagi setiap pek ekoran kenaikan harga daripada pemborong.

Peniaga, Siti Aishah Che Murad, 44, memberitahu, menjual minyak peket itu tidak pernah menguntungkan sejak kebelakangan ini, namun dia terpaksa mendapatkan daripada pemborong kerana permintaan pelanggan.

“Dahulu pun untung cuma 10 sen tetapi sejak kebelakangan ini jatuh lima sen sahaja sebab pemborong tolak kepada kami RM2.45 setiap pek, manakala harga kawalan kerajaan tetapkan RM2.50, jadi tidak boleh nak jual lebih.

“Memang untung tidak ba­nyak, tambahan lagi kos beg plastik. Kalau ikut memang tidak untung pun tetapi terpaksa jual juga sebab pelanggan mahu beli,” katanya ketika ditemui di premis niaga di pasar berkenaan di sini semalam.

Kerajaan menetapkan harga maksimum minyak masak peket RM2.50 sepeket sehingga Jun ini.

Seorang lagi peniaga, Aman Shah Hashim, 61, berkata, selain kenaikan harga daripada pemborong, bekalan minyak masak peket juga sukar diperoleh ketika ini.

“Dahulu seminggu dua kali tetapi sekarang dua minggu sekali baru sampai stok. Pelanggan datang nak beli tetapi tidak ada, memang susah lah.

“Untung memang lima sen sahaja sebab pemborong tolak kami RM2.45. Sebagai peniaga kecil ini kami boleh ambil 10 hingga 20 peket sahaja, berapa lah untungnya kan?” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip yang mewakili 15 peniaga minyak berlesen di situ berharap masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga bahan itu segera diatasi oleh pihak terlibat.

“Memang dahulu seminggu dua kali peniaga dapat bekalan tetapi sekarang dua minggu sekali dan permintaan akan terus ­meningkat menjelang Ramadan ini.

“Selain itu kita harap kementerian berbuat sesuatu tentang harga kawalan dan kenaikan harga di pihak pemborong,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI