fbpx

Dua peniaga dipenjara 14 hari, denda RM75,000 tawar rasuah bitcoin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Goh How Keong (baju putih) dan Gan Tze Lee (baju hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Dua peniaga dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM75,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tertuduh, Goh How Keong, 50 dan Gan Tze Lee, 49 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, bagaimanapun mereka membayar denda tersebut dan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkapan pada 28 Februari lalu.

Hakim juga mengarahkan wang rampasan aktiviti Bitcoin keseluruhan berjumlah RM83,380 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM15,000 kepada pegawai TNB sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah menawar dan memberikan wang tunai secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin sejak pertengahan tahun 2021. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI