fbpx

MBM berperanan bantu kerajaan bangunkan belia Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Majlis Belia Malaysia (MBM) berperanan besar dalam membantu kerajaan membangunkan belia Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin MBM yang mewakili suara anak-anak muda sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama Kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saya yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti-aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh Keluarga Malaysia bagi tahun 2022.

“Dengan kreativiti dan pendekatan ‘Dari Belia Untuk Belia’, pastinya pelbagai aktiviti yang menepati jiwa anak muda dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-71 MBM di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta, mewakili hanya lapan peratus daripada keseluruhan populasi belia negara, sewajarnya ditambah menerusi aktiviti-aktiviti yang diminati golongan itu.

“Penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama ini dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat seperti penyertaan NGO belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di Pantai Timur Semenanjung.

“Program khidmat komuniti dan pasca bencana seperti Rakan Muda Day Out & Rakan Muda Prihatin amat memerlukan tenaga sukarelawan muda untuk berkhidmat dengan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI