fbpx

Runut bunyi strategi muzik Aliff Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIFF ISKANDAR

BERMULA dari bawah dan tanpa malu menjual bakat yang dimiliki kepada umum. Itu yang dapat dilihat dalam usaha Aliff Iskandar yang aktif menyusun strategi bagi memastikan namanya terpahat sebagai penyanyi dikenali.

Bukan laluan yang mudah untuk dipeluk populariti tetapi kehadirannya dengan latar belakang yang bersih daripada sebarang kisah sensasi sedikit memperlahankan pendakian kariernya.

Namun, prinsip tersebut yang digenggam oleh pemilik nama penuh Nor Aliff Iskandar Norazmi sehingga hari ini.

Langkah demi langkah diaturnya, ternyata usahanya terbayar apabila dua single iaitu Perit dan Takdir berjaya terpilih sebagai runut bunyi beberapa buah drama tempatan.
Memandang perkara tersebut sebagai satu lubuk rezeki yang besar, penyanyi berusia 21 tahun itu bersyukur kerana karya seninya tidak dipandang sepi.

TIDAK terlepas daripada diganggu peminat, Aliff mengakui pernah menerima gangguan seksual daripada peminat wanita menerusi media sosial.

Strategi

“Ini namanya rezeki, sekali gus bermaksud bakat dan karya saya dihargai oleh umum. Sebagai penyanyi muda, apabila lagu dipilih menjadi runut bunyi mana-mana drama, itu satu pencapaian yang besar buat saya.

“Tanpa sedar, lagu tersebut dimainkan berulang kali setiap kali drama ditayangkan. Rasa bangga dengan diri sendiri sebab saya dengar bukan mudah lagu dipilih untuk jadi runut bunyi drama popular,” katanya teruja.

Ujarnya, lagu terpilih sebagai runut bunyi dalam mana-mana drama merupakan satu daripada usaha membina nama sebagai penyanyi berpengaruh.

“Kadang-kadang tidak boleh bergantung harap sangat dengan media sosial sebab bukan selama-lamanya tuah akan memihak kepada kita.

“Jadi, menghasilkan lebih banyak karya sehingga berjaya dipilih sebagai OST drama atau filem merupakan salah satu sasaran saya sejak hari pertama bergelar penyanyi. Kini, semuanya menjadi kenyataan,” tuturnya.

ALIFF nekad menghasilkan lebih banyak karya berkualiti yang bersesuaian agar mampu terpilih menjadi runut mana-mana drama tanah air.
– Foto oleh MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Mahu jadi komposer disegani

Aliff yang juga mahasiswa dalam bidang pendidikan berkaitan muzik di sebuah institut perguruan itu turut memacu langkah dalam penghasilan lagu.

Berawal perlahan dengan single kedua berjudul Perit dan diikuti Takdir pada tahun lalu, Aliff juga sudah mula menunjukkan taring sebagai komposer muda tanah air.

Bukan setakat untuk single sendiri tetapi turut menghasilkan karya bagi penyanyi tanah air lain.

“Saya pernah menghasilkan lagu untuk Meerqeen berjudul Menunggu beberapa bulan lalu dan respons orang ramai agak memberansangkan.

“Mungkin itu bakat lain yang saya miliki sekali gus membantu mengukuhkan lagi nama saya sebagai penggiat seni tanah air,” katanya yang turut menjadikan Hael Husaini sebagai idola.

Penghasilan lagu berdasarkan pengalaman hidup, ada daripada kehidupannya dan juga orang sekeliling. Itu yang menjadi subjek dalam setiap karya seni yang dihasilkannya sehingga hari ini.

“Inspirasi bagi setiap lagu hadir daripada suka duka pengalaman sendiri ataupun individu sekeliling. Saya suka melihat sisi kehidupan orang lain dari sudut berbeza dan menterjemahkannya dalam lagu.

“Itulah sasaran saya untuk menjadi anak seni berjaya iaitu mampu menghibur orang ramai dan juga menghasilkan lagu sendiri atau untuk penyanyi lain,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran memegang dua portfolio iaitu sebagai selebriti dan pelajar, sekali gus bakal pendidik, Aliff bersyukur kerana jadual harian dan pengurusan masanya berjalan lancar.

“Setakat ini tiada sebarang pertembungan antara waktu belajar dan menyanyi sebab selalunya undangan nyanyian pada hujung minggu,” katanya.

Dilahirkan dalam keluarga yang berpendidikan, jejaka kacak tersebut berpendapat ilmu merupakan satu perkara yang harus dimiliki oleh setiap individu tidak kira bidang pekerjaan sekalipun.

“Bagi saya, pendidikan dan ilmu perlu ada dalam setiap individu termasuk jika ingin menjadi seorang artis.

“Tanpa sedar, semua itu telah membantu saya untuk lebih berani memunculkan diri di hadapan khalayak ramai. Sebelum ini saya boleh dikatakan seorang introvert, namun sejak menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG), semuanya berubah.

“Sifat pemalu sudah semakin menghakis dan berani dalam semua hal. Sedikit sebanyak telah memben­tuk satu keperibadian dan mengajar saya cara pembawaan diri,” kongsinya.

TURUT mengidolakan Ernie Zakri, Aliff meletakkan penyanyi tersebut sebagai contoh terbaik dalam bidang nyanyian terutama berkaitan teknik vokal.

Kepercayaan keluarga

Bersih tanpa banyak onar, Aliff juga seboleh-bolehnya enggan meraih populariti segera dengan membuka pintu-pintu sensasi. Katanya, dia harus menjaga imej dan kepercayaan yang telah diberikan oleh keluarga sebelum ini.

Mengakui langkah awal dalam dunia hiburan ditentang keluarga, Aliff tekad untuk membuktikan stigma negatif anak seni yang selama ini bersarang dalam fikiran umum, termasuk keluarganya.

“Keluarga saya memang menghalang sebab bagi pandangan mereka, industri seni terutama menceburi pada usia muda, nampak negatif.

“Saya tidak pernah salahkan mereka kerana wujud pemikiran sebegitu kerana sudah lumrah. Saya mahu buktikan bidang muzik boleh dijadikan sebagai sumber rezeki.

“Jadi, di situlah bermula cabaran untuk saya bagi membuang skeptikal,” tuturnya.

Tidak mahu meleburkan kepercayaan diberi, anak kelahiran Kelantan ini sedaya upaya mahu memelihara nama baik keluarga yang kebanyakannya bertugas sebagai pendidik.

Katanya, populariti segera hasil gosip panas yang mampu mengundang kecaman bukan perkara yang diingininya sebagai anak seni.

“Kontroversi atau gimik murahan bukan cara saya untuk meraih populariti. Tak mengapa lambat, asalkan tidak mencalarkan nama baik mana-mana pihak,” akhirnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI