fbpx

PRN Johor: Dikompaun akibat ceramah atas pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hang Seng

KLUANG – Tindakan sebuah parti politik yang melakukan ceramah di atas kenderaan pacuan empat roda di sekitar Bandar Seri Impian, di sini malam semalam mengundang padah apabila dikenakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, perbuatan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Hang Seng berkata, kegiatan berkenaan dikesan polis melalui satu rakaman video berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan ceramah dilakukan di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di tapak peniaga pasar malam, di bandar berkenaan.

“Semalam kira-kira pukul 8.30 malam, pihak polis telah mengesan satu rakaman video berkenaan dan semakan mendapati kenderaan tersebut memiliki permit kelulusan untuk digunakan bagi kempen kenderaan bergerak di sekitar kawasan Bandar Seri Impian, Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Mengkibol semalam mulai pukul lapan hingga 10 malam.

“Berlaku pelanggaran syarat aktiviti dan protokol berkempen menggunakan kenderaan yang dipasang alat pembesar suara yang tidak dibenarkan melakukan ceramah dan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

“Kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16, Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan melanggar arahan dan SOP yang ditetapkan oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, PDRM Kluang komited dalam mengambil tindakan tegas bagi memastikan segala SOP dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggarnya akan diambil tindakan tanpa kompromi.

“Sebarang aduan atau maklumat berkaitan isu-isu pilihanraya boleh disalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kluang melalui talian 077784222 atau 077784256,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI