fbpx

Musa hadiah terindah buat Mizz Nina, Noh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas tiga bulan menyimpan rahsia, pasangan selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh akhirnya mendedahkan kini memiliki seorang anak angkat yang diberi nama Musa.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Mizz Nina, bekas penyanyi itu mendedahkan kehidupannya yang kini diserikan dengan kehadiran seorang anak.

Nina dan Noh bagaimanapun tidak mendedahkan wajah Musa untuk tatapan umum.

“Alhamdulillah. Sudah tiga bulan sejak kehadiran Musa. Kami sangat bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan yang cukup indah ini. Akhirnya doa kami dimakbulkan.

“Apa yang boleh saya katakan, dia (Musa) sekarang adalah mahram saya. Alhamdulillah,” tulis Nina.

Ujarn Nina atau nama lengkapnya Shazrina Azman, 41, dia bersama suami telah melalui perjalanan yang cukup panjang untuk memiliki seorang cahaya mata dan telah melakukan pelbagai cara selama bertahun-tahun untuk mendapatkan zuriat.

“Selama bertahun-tahun kami melakukan pelbagai kaedah seperti intrauterine insemination (IUI), rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan pembedahan. Akhirnya Allah SWT hadirkan bayi yang comel ini menerusi kaedah lain (anak angkat).

“Apabila Allah SWT menginginkannya, tiada siapa yang mempu menghalangnya. Hanya Dia sahaja yang mengetahuinya,” ujar Nina.

Bercerita lebih lanjut, bekas penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Takeover itu memberitahu dia mengambil masa selama lebih setahun untuk membuat keputusan dan bersedia mengambil seorang anak angkat.

“Noh (suami) yang memberi cadangan untuk kami mengambil seorang anak angkat. Sudah tentu dalam Islam, anak ini nanti akan ‘berbinkan’ Abdullah atau nama Allah SWT yang lain. Bukannya berayahkan nama bapa angkatnya.

“Kami dibantu oleh kumpulan kemanusiaan untuk membuat keputusan. Terdapat ramai bayi di luar saya yang tidak mempunyai salah seorang atau kedua-duanya (yatim piatu).

“Tidak mempunyai rumah bersama keluarga yang akan menyayangi mereka,” katanya.

Jelas Nina lagi, tidak mudah untuknya terbuka mengambil seorang anak angkat. Dia selalu berdoa kepada Allah SWT untuk membuka pintu hatinya serta memberi ruang membuang ketidak yakinan dirinya sebelum akhirnya Nina membuka pintu hati untuk menerima kehadiran Musa.

“Musa adalah hadiah paling indah yang dikurniakan Allah SWT untuk saya. Kehidupan saya bersama suami juga berubah seperti menaiki ‘roller coaster’ selepas bergelar ibu bapa.

“Malah kami kini menikmatiu saat bersama dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah. Semoga Allah SWT memelihara keluarga kecil saya dan merahmati keluarga ini. Amin,” pinta Nina.

Sekadar info, Nina mendirikan rumah tangga bersama bekas vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh pada 2011.

Selepas 11 tahun melayari rumah tangga, pasangan itu masih belum mempunyai rezeki untuk dikurniakan zuriat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR