fbpx

Kerajaan luluskan projek MRT 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini telah membuat keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) dan menambah baik projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah-Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini.

“Projek MRT 3 akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga telah bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah-Sarawak dengan meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer (km).

“Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

“Kemajuan fasa pertama LPB Sarawak pula telah mencapai 78 peratus melibatkan jajaran 786km dan bagi melengkapkannya kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.

“Keutamaan projek-projek ini akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Tambah beliau, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.

“Keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI