MELAKA – Seramai tujuh lelaki termasuk remaja diberkas selepas dipercayai aktif memecah masuk dan mencuri duit tabung masjid pada waktu subuh, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil maklumat awam, kesemua suspek berusia 15 hingga 35 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan sejak Januari lalu.
Katanya, tangkapan itu juga dipercayai telah menyelesaikan lapan daripada 21 kertas siasatan kes pecah tabung masjid yang dibuka dalam tempoh dua bulan tahun ini.
“Kesemua suspek dipercayai bergerak secara solo dan mencuri duit tabung masjid pada waktu awal pagi sebelum solat Subuh.
“Dengan tertangkapnya tujuh suspek ini, kita percaya sebanyak lapan kes pecah tabung masjid berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek masuk ke dalam masjid dengan memakai topi keledar dan pelitup muka bagi melindungi identiti masing-masing. Anggaran kerugian membabitkan lapan masjid itu adalah RM5,000.- KOSMO! ONLINE














