KULAI – Ikrar Aku Janji Integriti yang dilafazkan kesemua 56 calon Perikatan Nasional (PN) membuktikan kesemua mereka bebas dari sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ikrar itu juga adalah komitmen PN dalam mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berintegriti.
Beliau berkata, banyak kerosakan yang telah berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara.
“Jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah.
“Berbilion wang rakyat dan aset negara lesap begitu sahaja dan institusi negara rosak dirompak oleh pemimpin yang tidak amanah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Ahmad Faizal Uzumu dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dengan hutang yang ditinggalkan pemimipin terdahulu (kira-kira RM21 billion), banyak projek-projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat antaranya sekolah, hospital jalan raya dan lain-lain.
“Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan.
“Tetapi kerana pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














