fbpx

Medac teruskan bantuan kepada usahawan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh menyerahkan sumbangan geran BBKM kepada penerima hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan meneruskan pemberian bantuan RM3,000 kepada mangsa banjir gelombang kedua di Terengganu dan Kelantan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pemberian tersebut akan melibatkan peruntukan RM50 juta diperolehi menerusi Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) dan akan ditambah sekiranya diperlukan lebih kelak.

Katanya, berdasarkan rekod terdapat kuota 4,000 lagi daripada 16,666 peniaga terkesan banjir diperuntukkan sebelum ini bagi gelombang pertama.

“Kita akan selesaikan usahawan bagi gelombang pertama BBKM ini pada bulan ini.

“TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan mengesan usahawan mereka yang terlibat dan permohonan secara online juga boleh dilakukan oleh kumpulan usahawan yang tidak bernaung dibawah agensi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan geran secara one-off kepada 328 usahawan informal dan mikro yang terkesan banjir bagi Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Puchong dan Klang.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff turut menyerahkan sumbangan zakat kepada 134 usahawan asnaf berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor. Setiap seorang daripada mereka menerima RM2,000.

Dalam pada itu, Noh turut meminta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara lebih bertimbang rasa dengan tidak mengenakan tindakan kepada peniaga termasuk tidak berlesen yang cukup terjejas akibat pandemik Covid-19 dan banjir.

“Kita hendak bangkitkan semula usahawan ini. Jadi, kita sudah berikan sumbangan geran RM3,000 sebagai contoh untuk berniaga tetap dikenakan saman PBT.

“Geran yang dapat habis bayar saman pula, apa maknanya kerajaan tolong. Kita minta PBT seluruh negara khususnya Selangor bagi moratorium sikit, waktu bertenang dulu. Macam saya sebagai menteri telah arahkan Tekun, AIM dan Bank Rakyat dalam tempoh enam bulan, jangan ambil tindakan,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI