fbpx

Jual RTK antigen kalau mahu kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

DI satu petang:

“Mak, kami hendak balik hujung minggu ini.”

“Nak balik boleh tapi semua perlu buat ujian kendiri. Bukan apa, mak risau kamu bawa balik virus Covid-19 tambahan pula mak ada darah tinggi dan kencing manis.”

Situasi dua:

“Bang, aku positif Covid-19. Tak tahulah berjangkit daripada siapa. Baik kau buat ujian kendiri sebab kita ada jumpa semalam.”

Begitulah keadaan yang berlaku ketika ini. Masing-masing paranoid dengan pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi ketika ini virus amat mudah merebak.

Sebab itu kalau hendak jadi kaya, maka juallah kit ujian pantas (RTK) antigen kerana ketika ini barangan itu menjadi salah satu bahan rebutan.

Pengusaha farmasi dan peniaga di platform dagang online ketika ini menjualnya pada harga melebihi RM10 seunit.

Kedai serbaneka seperti 99 Speedmart dan DIY yang menjadi pilihan rakyat membeli RTK antigen pada harga murah kini berdepan dengan bekalan stok yang kritikal. Pekerja pun tidak tahu bila stok baharu akan sampai.

Golongan marhaen pula berada dalam dilema kerana perlu mengeluarkan wang lebih untuk membelinya di farmasi kerana harganya yang jauh lebih mahal.

Kehabisan kronik stok alat itu di kedai serbaneka sudah berlarutan selama dua bulan dan rata-rata orang ramai mengeluh mengenainya sama ada ketika berborak sesama jiran, ahli keluarga dan berbalas mesej di WhatsApp.

Jika di awal jangkitan Covid-19, kita melihat pelitup muka dan cecair sanitasi ‘laku keras’.

Pantang sahaja ada rakan yang membuka tempahan, ia cepat sahaja mendapat respon ahli kumpulan WhatsApp.

Sekarang pula, kaki bisnes menjadikan alat ujian tersebut sebagai lubuk mendapatkan duit.

Walaupun masih di bawah paras harga siling iaitu RM19.90, namun timbul persoalan kepada kita mengapa ada sesetengah pihak boleh menjualnya di bawah RM5 sedangkan isi dan kualitinya sama sahaja. Pengurangan melebihi 80 peratus!

Di sini jelas menunjukkan berlaku permainan harga. Seperti biasa pengguna akhir yang berada dalam sistem hukum asas ekonomi menjadi mangsa. Harga melonjak bila permintaan meningkat.

Apa yang pasti kesan Covid-19 terlalu panjang yang memberi keuntungan kepada pemain industri ubat-ubatan dan peralatan kesihatan.

Bermula dengan mesin dan ubat di wad dan unit rawatan rapi, lonjakan bisnes berjangkit pula kepada pembekal vaksin, peralatan perlindungan diri, sarung tangan, pelitup muka serta pensanitasi tangan yang mempunyai nilai dagangan begitu banyak.

Apa yang kita boleh buat sekarang ialah berharap kepada kerajaan agar dapat membawa masuk lebih banyak stok RTK supaya harga dapat dikawal dan mudah bagi rakyat membelinya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI