fbpx

‘Hari kebebasan’ untuk kontak rapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Bermula hari ini, kontak rapat kes Covid-19 yang tidak bergejala, telah menerima dos penggalak dan berusia 18 tahun ke atas, tidak lagi perlu kuarantin diri di rumah seperti sebelum ini.

Mereka hanya perlu melakukan ujian pantas antigen (RTK) kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir terdedah kepada kes positif. Hasil ujian perlu dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Tidak seperti sebelum ini, kontak rapat wajib menjalani kuarantin dan turut dipakaikan gelang bagi mengelakkan mereka keluar rumah sesuka hati.

Bagaimanapun kini, mereka bukan sahaja boleh bekerja seperti biasa, malah menghadiri majlis sosial walaupun suami, isteri atau anak-anak yang dijangkiti Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah, tempat tinggal sama dengan kontak rapat.

Oleh itu, jangan terkejut, takut atau panik jika rakan-rakan anda yang merupakan kontak rapat kes Covid-19 hadir ke pejabat seperti biasa dan duduk bersama anda.

Tindakan mereka tidak lagi menjadi kesalahan selepas kerajaan memansuhkan prosedur pengasingan bagi kontak rapat itu. Kecuali jika majikan menetapkan syarat sendiri dengan melarang mereka hadir ke pejabat dalam tempoh beberapa hari.

Namun, sejauh mana kesanggupan majikan berbuat demikian kerana tindakan itu akan menyebabkan syarikat mengalami kekurangan tenaga kerja.

Bayangkan andai lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja menjadi kontak rapat dan dijangkiti Covid-19 tidak dapat bekerja, maka operasi syarikat akan terjejas, kecuali amalan kerja dari rumah dilaksanakan.

Kejujuran dalam mengisytiharkan status kontak rapat amat penting kerana sesiapa sahaja boleh memberi maklumat palsu dalam MySejahtera. Tindakan ini sukar dipantau pihak berkuasa.

Sebelum ini, semua pesakit Covid-19 perlu pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk penilaian tahap kesihatan, namun sekarang tidak lagi, mereka pun boleh mengisi butiran penilaian itu melalui MySejahtera sahaja sambil baring di atas katil.

Jika seseorang menjadi kontak rapat kes Covid-19 yang bergejala, mereka wajib dikuarantin sekurang-kurangnya lima hari. Usahlah menipu MySejahtera dengan mengisi maklumat palsu terutama mereka yang berniaga atau bekerja sendiri.

Bagi mereka yang makan gaji, jangan pula memaklumkan kononnya diri sebagai kontak rapat yang bergejala, sedangkan keadaan sebenar sebaliknya, semata-mata malas mahu pergi kerja.

Ketika ini, jangkitan Covid-19 sememangnya masih tinggi. Setiap hari, pasti ada sahaja ahli keluarga, rakan-rakan atau jiran-jiran kita yang dijangkiti.

Bagi mereka yang belum dijangkiti, mungkin menunggu masa sahaja, namun majoriti mereka yang terkena Covid-19 akhirnya sembuh dan jumlah kematian juga amat kecil.

Maka tidak hairanlah kerajaan semakin melonggarkan atau mengurangkan prosedur operasi standard (SOP), cuma yang tidak berkurangan adalah suntikan vaksin Covid-19 yang bertambah menjadi dos penggalak dan mungkin kita kelak perlu dicucuk setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI