fbpx
YULIA elak makanan pedas, berminyak untuk jaga suara.

Yulia idam status superstar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GADIS molek bertubuh kecil yang menghiasi ruangan Pesona Ahad minggu ini pernah memukau pentas I Can See Your Voice musim keempat dan Digi Suara Next Level 2.0.

Mula menyanyi sejak berumur lima tahun, Yulia Kamelia Kasim, 21, atau lebih mesra disapa Yulia merupakan pelantun lagu Le­baran Yang Hiba dan lagu patriotik Bunga Raya ciptaan kompo­ser Aliff Hassan.

Bercita-cita mahu menjadi seperti penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza dan biduanita Saloma, pelajar jurusan Kolej Universiti PolyTech Mara (KUPTM) ini berkongsi serba sedikit mengenai dirinya buat tatapan pembaca Kosmo! Ahad.

Kosmo! Ahad: Mengapa suka menyanyi?
Yulia: Menyanyi mampu hilangkan stres dan beri saya ketenangan sepanjang masa, sebagai penuntut adakalanya kita tertekan dengan pelajaran, namun ini cara saya lepaskan semua tekanan.

Bagaimana perjalanan karier anda?
Saya dilahirkan dalam keluarga seni, bapa merupakan pemain muzik, manakala ibu penyanyi lagu-lagu tradisional untuk kumpulan gamelan. Ketika di zaman sekolah, saya aktif menyertai pertandingan menari, nyanyian selain mewa­kili negeri Selangor dalam syair.

Genre lagu diminati?
Saya mahu jadi pe­nyanyi versatil tetapi genre paling dekat adalah balada, tradisional dan irama malaysia.

Kenangan manis sepanjang penglibatan dalam bidang seni?
Memenangi hadiah wang tunai dalam pertandingan nya­nyian dan semakin dikenali selepas mempunyai dua buah lagu serta berpeluang menonjolkan bakat dalam pertandingan realiti.

Pernah dikritik, perasaan anda?
Dikritik tu memang ada, tambah-tambah lagi bila juri-juri yang memang tegas dan pedas. Setiap minggu akan ada komen-komen yang positif dan sedikit negatif. Negatif yang maksudnya dari segi teknikal perlu digilap lagi.

BEKAS peserta I Can See Your Voice ini mengidamkan lelaki yang menghormati orang tua.

Cara Yulia jaga suara?
Elak makan makanan yang terlalu berminyak, pedas dan minuman sejuk. Saya juga akan ambil gula-gula berangin sebelum mulakan nyanyian. Pengalaman pahit apabila saya tiba-tiba demam panas sehingga suara hilang dan tidak fokus menyanyi.

Bagaimana mengimbangi nyanyian dan pelajaran?
Selalunya saya akan siapkan tugasan awal selain membuat nota kecil dan membahagikan masa, petang berlatih menyanyi dan malam ulang kaji.

Apa yang orang tidak tahu tentang Yulia?
Boleh bermain gitar, memasak dan ‘berangan’ depan cermin.

Yulia lima tahun lagi?
Menjadi penyanyi ter­kenal dan miliki perniagaan kosmetik jenama sendiri.

Pasangan idaman?
Seorang yang beriman, pe­nyabar, faham minat dan kerjaya saya serta hormat orang tua.

Komen vaksin dan jangkitan makin tinggi?
Covid-19 makin mengganas dan tidak mengenal siapa, maka ambillah vaksin. Sekurang-kurangnya jika dijangkiti, kesan tidak seteruk.

Persiapan raya?
Teruja nak raya tahun ini sebab sudah dua tahun tak dapat balik raya. Tahun ini rancang hendak melaram dengan tiga atau empat pasang baju. –KOSMO! ONLINE

POPULAR