fbpx
Mafuden (kiri) kini menjadi tonggak utama baharu buat pasukan Kelantan Warriors. /FOTO FACEBOOK STL

Mafuden tonggak baharu Kelantan Warriors

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pasukan Kelantan Warriors belum bersedia menaikkan bendera putih daripada terus tersingkir ke Divisyen 1 selepas ditewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-1 pada minggu ketujuh dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Spice Arena, Bayan Baru di sini petang tadi.

Gandingan hanya tiga pemain iaitu Naim Izani (tekong), Aidil Aiman (pengumpan) dan Mafuden Arwae (perejam) cukup memperlihatkan skuad kendalian Azhar Sarbini itu beraksi dengan lebih selesa meskipun belum berada di ‘zon selamat’ untuk kekal di Liga Premiers musim depan.

Pengurus pasukan, Fairul Rafiq Zainuddin berkata, pihak pengurusan sememangnya cukup berpuas hati dengan penampilan yang dipamerkan trio Warriors terutama pemain import baharu dari Thailand, Mafuden pada minggu ini.

Menurutnya, kemunculan pertama kali pemain berasal dari Golok itu mampu merealisasikan impian pasukan untuk kekal di kancah Liga Premier musim depan.

“Secara matematiknya, peluang kami tetap ada. Yakin, Mafudeen yang menjadi tonggak utama baharu pasukan ini dilihat sedaya upaya mahu menyelamatkan Kelantan Warriors daripada penyingkiran.

“Kelantan belum berada di zon selamat. Oleh itu, kami akan menggandakan lagi rentak permainan untuk meraih dua kemenangan terakhir menentang Johor Tigris dan Perak Bison di Ipoh minggu depan. Ini diibaratkan misi hidup dan mati kami,” selorohnya ketika dihubungi di sini tadi.

Beliau memberitahu lagi, Mafuden yang berusia 19 tahun itu dilihat mudah menyesuaikan diri dalam pasukan dan di gelanggang dengan baik meskipun baru membuat penampilan sulung dalam dua perlawanan semalam dan petang tadi.

“Saya yakin, gandingan semula pemain lama dan baharu minggu depan berupaya mengubah dan menggandakan lagi mata untuk pasukan.

“Kami kena berusaha dengan lagi agar memperoleh prestasi yang lebih baik. Harap penyokong Kelantan Warriors terus berdoa dan tidak henti memberi semangat kepada kami,” jelasnya.

Ketika ini, Kelantan Warriors masih berada pada kedudukan tercorot carta STL dengan mengumpul lapan mata setelah berdepan 12 kekalahan. -KOSMO! ONLINE

POPULAR