fbpx
Abdul Fathin (dua dari kanan) menerima kunjungan Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim (kiri) di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing baru-baru ini.

Talasemia ragut kesihatan Fathin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING – Seorang pemuda di Kampung Pengkalan Batu di sini yang menghidap talasemia kini tidak mampu bekerja selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Abdul Fathin Talib, 23, berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai penghantar makanan untuk menampung dirinya serta membantu menyara ibunya yang me­rupakan ibu tunggal.

Bagaimanapun, sejak kakinya membengkak kesan daripada penyakit itu, dia tidak dapat berjalan, sekali gus tidak mampu bekerja sejak enam bulan lalu.

“Sekarang kaki saya sudah semakin sembuh dan sudah boleh berjalan, cuma saya menunggu masa untuk menjalani pembedahan limpa pula.

“Akibat darah yang tidak cukup setiap dua minggu sekali menyebabkan limpa saya membengkak dan disebabkan itu, saya semakin kerap mengalami kekurangan darah.

“Kalau buang limpa, mungkin terdapat selang masa darah akan berkurangan iaitu sebulan atau dua bulan sekali,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Talasemia merupakan penyakit ke­turun­an yang berpunca daripada kekurangan protein globin yang menjadi komponen hemoglobin dalam darah.

Menurut anak ke-12 daripada 13 beradik itu, dia yang menghidap penyakit itu sejak usia dua tahun selepas sering diserang demam.

Katanya, penyakit itu menyebabkan dia terpaksa menjalani transfusi darah ke badannya setiap bulan.

“Saya melakukan rawatan di Hospital Mersing. Jika saya tidak menjalani transfusi darah, badan akan menjadi lemah dan demam, malah boleh membawa maut,” ujarnya.

Abdul Fathin berkata, apa yang membimbangkannya adalah kos sepanjang menjalani ra­watan susulan selepas pembedahan limpa dilakukan di Hospital Sultan Aminah (HSA) nanti.

Dia yang menerima bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM500 berkata, kos pembedahan itu akan ditanggung kerajaan, cuma tambang pergi balik ke hospital dan kos lain-lain yang perlu ditanggungnya.

“Saya tidak dapat anggarkan berapa jumlahnya kerana sekarang semua benda mahal,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN atas anam Abdul Fathin iaitu 0111329000212775.

POPULAR