fbpx

Langkawi jana lebih RM28 juta menerusi LITB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pantai Chenang, Langkawi kembali meriah dengan keriuhan pelancong domestik selepas industri pelancongan dibuka semula bermula 16 September lalu.

KUCHING – Lebih daripada RM28 juta telah berjaya dijana oleh kerajaan menerusi pelaksanaan ujian rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) yang membolehkan pelancong asing datang ke Malaysia melalui Pulau Langkawi, Kedah bermula November tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh pelaksanaan selama tiga bulan itu, seramai 5,686 pelancong asing telah memanfaatkan projek berkenaan yang secara tidak langsung menjana pendapatan kepada negara.

“Inisiatif LITB merupakan ujian rintis ke atas kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terhadap norma baharu.

“Sejak LITB diperkenalkan, tiada sebarang kluster jangkitan yang berpunca daripada pelancong-pelancong malah hanya 1 peratus sahaja didapati positif Covid-19 di bawah kategori 1 dan 2 ketika saringan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching Waterfront di sini hari ini.

Tambah beliau, maklum balas baik yang diterima daripada pihak terlibat dalam pelaksanaan LITB memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif berkenaan sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak.

Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 merupakan festival mega yang telah diadakan setiap tahun sejak 1999 dan turut disenaraikan sebagai salah satu acara berskala besar di dalam kalendar pelancongan negara.

Bagaimanapun, program berkenaan telah ditangguhkan selama empat tahun penganjurannya dan kali ini diadakan dalam suasana pemantauan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Festival yang berlangsung selama empat hari itu juga bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 250 orang pemain sape akan terlibat satu Konsert Sape menjadikannya konsert dengan penyertaan pemain sape terbanyak setakat ini.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI