fbpx

Hadir ikut waktu janji temu bagi elak sesak ambil bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir yang beratur panjang dan bersesak bagi memasuki Dewan MBSA Kemuning Seksyen 32 semalam bagi mendapatkan BSB dan BWI, semalam. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Pemohon yang belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) disarankan menepati waktu janji temu yang ditetapkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang diberikan bagi mengelakkan sebarang kesesakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mengambil maklum respon balas tentang pemohon bantuan banjir yang beratur panjang semalam.

Katanya, pihak Pejabat Daerah Klang memberi pilihan kepada pemohon sama ada menerima secara tunai atau pemindahan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank mereka.

“Namun, majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan.

“Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir lebih awal berbanding masa yang ditetapkan mengenai waktu janji temu melalui SMS yang diterima mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Amirudin menjelaskan kerjasama dan persefahaman semua pihak dapat melancarkan lagi penyaluran BSB seterusnya dapat diselesaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 1,000 mangsa banjir menyerbu Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Seksyen 32 di sini bagi menerima BSB dan Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Mereka didapati hadir seawal pukul 1 tengah hari dan menyebabkan lokasi sesak dengan orang ramai beratur lebih satu kilometer bagi menunggu giliran memasuki dewan berkenaan yang dibuka bermula pukul 3 petang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI