fbpx

FIA putus gugurkan khidmat Masi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASI

LONDON – Selepas terpalit dengan kontroversi gelaran dunia Formula Satu (F1), Michael Masi akhirnya digugurkan daripada jawatan sebagai pengarah perlumbaan musim 2022 nanti.

Keputusan pengguguran tersebut telahpun dijangka berikutan tindakan Masi yang menyebabkan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton hilang gelaran F1 ketika aksi terakhir di Grand Prix (GP) Abu Dhabi tahun lalu.

Kekosongan tersebut akan diambil alih oleh bekas pengarah perlumbaan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) di Jerman, Neils Wittich dan pengarah perlumbaan Kejua­raan Endurance Dunia (WEC), Eduar­do Freitas.

Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem mendedahkan perkara tersebut selain menegaskan mahu mewujudkan sistem pengadilan yang lebih baik.

“Ketika mesyuarat di London, saya telah membentangkan sebahagian daripada rancangan terutama untuk membentuk sistem pengadilan yang lebih baik.

“Untuk membantu pengarah perlumbaan dalam proses membuat keputusan, Bilik Kawalan Perlumbaan Maya akan diwujudkan.

“Semua teknologi moden akan digunakan dalam saingan F1 untuk membantu pengarah perlumbaan menentukan keputusan yang tepat tanpa sebarang kontroversi.

“Kedua, komunikasi radio semasa perlumbaan yang kini disiarkan secara langsung akan disekat untuk melindungi pengarah perlumbaan daripada sebarang tekanan.

“Wittich dan Freitas akan dibantu oleh Herbie Blash sebagai penasihat tetap,” kata Mohammed.

Dalam pada itu, Mohammed turut menegaskan bahawa Masi akan kekal bekerja dengan FIA, namun tugas spesifik masih belum diputuskan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI