fbpx

PRN Johor: Parti politik dilarang guna masjid, surau untuk kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tosrin Jarvanthi (kiri) mengiringi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengunjungi perniagaan keropok lekor di Kulai, hari ini.

KULAI – Parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini dilarang menggunakan rumah ibadat seperti masjid dan surau untuk menjalankan aktiviti kempen politik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, larangan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang akan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, larangan itu bukan sahaja melibatkan kawasan dalaman premis berkenaan, tetapi juga pekarangan luar.

“Kita sudah ambil ketetapan bahawa mana-mana pemimpin politik walaupun parti kerajaan memerintah adalah dilarang menggunakan masjid, surau sama di bahagian dalam atau mana-mana kawasan.

“Larangan ini termasuklah dengan penggunaan masjid dan surau untuk program bertujuan keagamaan,” katanya ketika mengulas kemungkinan rumah ibadat itu dijadikan lokasi oleh parti politik menjelang PRN Johor ini.

Tosrin yang juga merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai bagaimanapun memberitahu, pemimpin dan parti politik boleh menghadirkan diri untuk menunaikan kewajipan.

“Tokoh-tokoh politik, calon bertanding atau mana-mana parti masih boleh menghadirkan diri ke masjid dan surau untuk bersolat atau menyertai bacaan Yaasin, tetapi tanpa sebarang ceramah atau ucapan dibenarkan.

“Kita ada garis panduan, ketika solat Jumaat dan selepas Maghrib memang ada bacaan Yaasin, jadi jika mereka turut serta bersolat dan baca Yaasin, ini dibolehkan tetapi itu sahaja,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI