fbpx

JaminKerja 2022 tawar 12,000 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

PUTRAJAYA – Sebanyak 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 anjuran Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula esok.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, karnival yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri itu akan membariskan lebih 50 majikan dengan lebih 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan termasuk kaunseling kerjaya, sesi temu duga bersama majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan sebagainya.

“JaminKerja terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) diumumkan pada Bajet 2022 menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion dengan 600,000 peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat, hari ini.

Katanya, bagi Insentif Penggajian JaminKerja, permohonan insentif telah dibuka mulai 17 Januari lalu dan akan tamat pada 30 Jun depan.

Tengku Zafrul berkata, permohonan boleh dibuat melalui laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu https://www.myfuturejobs.gov.my/careerfair/.

Selain itu, katanya, Program MySTEP akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80,000 peluang pekerjaan disasarkan.

“Ini adalah program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.

“Kerajaan turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan serta peningkatan kemahiran dan sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian juga agensi kerajaan,” katanya.

Katanya, MOF dan KSM juga telah diberi tanggungjawab menyediakan ‘single window’ bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian juga agensi dilaksanakan dengan efektif dan optimum.

Jelasnya lagi, antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program ‘place and train’ (latihan dan jaminan pekerjaan).

Permohonan boleh dibuat melalui laman web ‘single window’ UpskillMalaysia yang dibangunkan oleh HRD Corp di pautan https://upskillmalaysia.gov.my/.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI