SUKAN lasak, Muay Thai sememangnya menarik minat pelbagai pihak terutamanya golongan muda untuk mempelajarinya biarpun ia adalah aktiviti yang memerlukan disiplin mental dan fizikal berada pada tahap yang tinggi.
Apa yang menarik seorang jurulatih Muay Thai yang berpangkalan di sebuah taman perumahan di Mampong, Rembau, Negeri Sembilan berjaya melahirkan jaguh dan atlet bertaraf profesional hingga ke peringkat ASEAN biarpun dia mengajar seni bela diri dari Thailand itu tanpa kemudahan sepatutnya seperti di tempat lain.
Kekurangan tersebut bagaimanapun tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada negara dan bertekad untuk terus melatih anak-anak muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-SIAPA sangka, kawasan taman perumahan yang tenang di Mampong, Rembau, Negeri Sembilan terdapat lokasi tumpuan peminat sukan Muay Thai untuk melengkapkan diri dengan ilmu seni bela diri berkenaan hampir lima tahun lalu.
Mereka yang berusia seawal lima hingga 50 tahun, sanggup datang ke rumah jurulatih, Abdul Rifaat Abdul Karim, 40, biarpun tanpa kemudahan gelanggang sebenar bagi mempelajari ilmu bela diri berkenaan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Menurut Abdul Rifaat, dia tidak menyangka begitu ramai anak-anak Negeri Sembilan yang meminati sukan Muay Thai.
“Saya mula mempelajari seni bela diri berkenaan pada tahun 2000 di Pahang dan kemudian merantau ke Bangkok, Pattaya, Hatyai dan Danok, Thailand.
“Dalam kunjungan ke lokasi berkenaan, saya mengambil kesempatan untuk mempelajari seni bela diri lain seperti tomoi dan Muay Boran.
“Pada masa itu, saya tidak begitu serius untuk menjadi tenaga pengajar, namun kerap menyertai liga dan kejohanan seni bela diri.
“Pada tahun 2017, saya mulai serius dan bergerak menggunakan nama Kelab Muaythai Buraq untuk mencungkil bakat Muay Thai dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya yang turut mempunyai kelebihan serta pengalaman dalam sukan taekwando sehingga mewakili Malaysia di Thailand, India, Vietnam dan Indonesia.
Sehingga kini, kelab berkenaan telah berjaya melahirkan tiga atlet yang mewakili negara dalam sukan Muay Thai.
Mereka ialah Ishak Ibrahim, 25; Meor Abdul Rahman Meor Adnan, 25; dan Muhammad Mu’izz Mirza, 20.
Ketiga-tiganya berjaya mewakili negara dalam Sukan SEA.
Tambahnya, dalam kejohanan terbaharu di peringkat kebangsaan iaitu Kejohanan Muay Thai Antara Kelab di Seri Kembangan, Selangor pada 27 hingga 30 Januari lalu, pihaknya menghantar seramai 12 atlet dan sembilan daripadanya membawa pulang pingat.
Kita berjaya membawa pulang empat pingat Johan, satu Naib Johan dan empat pingat tempat ketiga mengikut kategori serta berat masing-masing,” katanya.
Menurut Abdul Rifaat lagi, dia berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lagi atlet Muay Thai dan kini sedang mencari gelanggang yang sesuai di daerah tersebut bagi mencungkil bakat-bakat atlet yang rata-ratanya datang dari Rembau, Gemas serta Kuala Pilah.

Keunikan Muay Thai adalah ia memerlukan disiplin yang tinggi, kekuatan fizikal serta mental.
Malah, sukan ini juga menguji kepantasan serta pergerakannya mewakili maksud tertentu,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd. Faizal Abd Ghani, 48, berkata, dia berasa bertuah apabila kelab berkenaan kini mendapat perhatian daripada Tabung Belia Harapan (Tabah), Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan untuk mendapatkan kemudahan lebih baik buat atlet.
Katanya, sebagai permulaan, pihaknya kini dalam perancangan bersama pihak terbabit bagi menganjurkan kejohanan Muay Thai pada pertengahan tahun ini.
Lokasi yang di cadangkan adalah di Rembau. Kita harap akan dapat melahirkan lebih ramai lagi bakat dalam sukan ini.

Jadi, perancangan kita adialah dengan mula memberi latihan kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Sukan ini boleh melahirkan atlet profesional yang mampu mengharumkan nama negara. Masa depan mereka dalam sukan ini terjamin dan kita mahu memulakannya dari sekarang,” katanya.














