fbpx

Maritim Malaysia ganti aset usia 30 tahun ke atas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (paling depan) pada sambutan hari ulangtahun ke-17 Maritim Malaysia. FOTO ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Aset Maritim Malaysia (APMM) yang berusia 30 tahun ke atas akan digantikan bagi meningkatkan keupayaan operasi menjaga keselamatan pesisir pantai negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kebanyakan kapal milik Maritim Malaysia sudah berusia lebih 30 tahun seperti Kapal Maritim (KM) Siangin dan KM Amanah selain KM Langkawi yang berusia lebih 40 tahun.

Katanya, berdasarkan perancangan, tiga buah kapal sepatutnya telah disiapkan sebuah syarikat tempatan sejak empat tahun lalu namun telah terlewat disebabkan ketidakmampuan syarikat terbabit.

“APMM bukan hanya mengawal pesisir pantai tetapi boleh menjaga keselamatan negara dengan kapal-kapal yang digunakan terbukti mampu membantu, jika perlu, bagi menjaga pertahanan negara.

“Kita perlukan aset yang lebih baik dan canggih selepas ini, kapal-kapal (yang digunakan) begitu lama dan Maritim Malaysia dalam perancangan untuk memastikan aset-aset dapat diperolehi secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas meraikan sambutan hari ulang tahun ke-17 Maritim Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, Maritim Malaysia juga bercadang untuk menambah tiga buah helikopter pada masa hadapan apabila aset sedia ada hanya boleh beroperasi selama empat jam sahaja.

“Bilangan helikopter sedia ada tidak mencukupi dan Maritim Malaysia perlukan beberapa buah lagi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI