fbpx

Jadi songsang setelah cinta sejati dikhianati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIDZUAN menyifatkan dia meneruskan hubungan songsang bersama Zam kerana mahu melupakan wanita dicintainya yang telah bertunang dengan orang lain. -GAMBAR HIASAN

HUBUNGAN yang terjalin antara Ridzuan (bukan nama sebenar) dengan kekasih hatinya sejak di bangku persekolahan terlerai setelah wanita itu memilih untuk bertunang dengan lelaki lain.

Dia sendiri tidak mengerti mengapa wanita yang dicintainya itu sanggup berbuat demikian kepada dirinya sedangkan dia telah berusaha untuk menghalalkan hubungan mereka.

“Ketika itu, saya baru sahaja mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan dalam proses mengumpulkan wang untuk melamarnya.

“Namun, apa yang saya dapat adalah ‘pengkhianatan’ apabila dia memilih untuk bertunang dengan orang lain,” katanya kesal kepada Panorama.

Tambahnya, sukar untuk menerima kenyataan itu apatah lagi ketika mereka bersama, dia langsung tidak dapat menghidu sebarang tanda kecurangan.

Bagaimanapun, Ridzuan berasa kekasih hatinya itu mungkin mula berlaku curang di belakangnya apabila mereka terpaksa berjauhan ekoran tugasnya sebagai anggota keselamatan.

Sejak peristiwa itu, ia memberi kesan yang cukup mendalam buat Ridzuan dan membuatkan dirinya hilang kepercayaan kepada wanita.

“Dia adalah cinta pertama saya tetapi apabila dikhianati sebegini, saya rasa terkesan sekali.

“Setelah diperlakukan sedemikian rupa, ia membuatkan saya takut untuk kembali menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita,” jelasnya.

Lantaran ingin menghilangkan rasa sunyi dalam kehidupan hariannya, Ridzuan kemudian telah memilih untuk memuat turun aplikasi perkenalan dalam talian.

PERKENALAN antara Ridzuan dan Zam terjalin menerusi aplikasi perkenalan. – GAMBAR HIASAN

Tujuan asalnya berbuat demikian sekadar mencari teman untuk berbual.

“Di aplikasi ini, saya mula berkenalan dengan lelaki yang lebih berusia daripada saya.

“Kami mula berborak antara satu sama lain dan saya meluahkan kisah saya dikhianati kepadanya,” katanya.

Ridzuan berkata, mereka berdua kemudian menjadi semakin akrab dan sering berbual antara satu sama lain.

Baginya, lelaki yang dikenalinya itu banyak memberi kata-kata semangat kepadanya setelah kecewa dalam percintaan.

Setelah hampir dua bulan berkenalan, mereka memilih untuk berjumpa dan Ridzuan telah ‘turun’ ke ibu kota untuk berjumpa lelaki tersebut yang dikenali sebagai Zam.

Ridzuan juga menganggap Zam sebagai abang angkatnya sendiri.

“Dia mempelawa saya untuk datang ke ibu kota dan segala perbelanjaan ditanggung olehnya.

“Ketika di ibu kota, saya telah bermalam di rumahnya. Pada malam itu juga, kami telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya iaitu hubungan songsang,” jelasnya.

Tambahnya, pada mulanya dia ingin menolak tetapi setelah dipujuk akhirnya dia tewas di pangkuan abang angkatnya itu.

Sejak itu, Ridzuan mula berasakan satu keseronokan apabila melakukan perkara yang dilarang oleh agama itu.

Boleh dikatakan, setiap bulan dia akan datang ke ibu kota untuk berjumpa dengan Zam.

Adakalanya abang angkatnya itu pergi melawatnya di tempatnya bertugas di selatan tanah air.

Ridzuan mengakui, dia terjebak dalam perkara itu kerana ingin melupakan bekas kekasihnya.

Hanya sekadar ingin mencuba, tetapi lama-kelamaan ia memberikan keseronokan kepadanya.

“Terdetik juga di hati saya untuk meninggalkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku itu. Tetapi buat masa ini, saya masih belum boleh meninggalkan perkara ini. Saya berharap suatu hari nanti diberi kekuatan untuk berubah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI