KEMAMAN – Obses dengan kecantikan gigi, namun akhirnya terpaksa merana menanggung kesakitan apabila gusi berdarah, gigi rosak, rahang sukar dibuka dan mulut berbau busuk.
Itulah yang dialami ramai individu terutama wanita yang menjadi mangsa penggunaan venir tiruan yang dipasang oleh doktor gigi tidak bertauliah di mana-mana tempat seperti di rumah pelanggan, inap desa, hotel, resort dan salon kecantikan.
Doktor gigi palsu terbabit hanya mengenakan bayaran semurah RM100 bagi pemasangan venir tiruan untuk sebatang gigi berbanding penggunaan venir asli iaitu antara RM250 hingga RM1,800 sebatang gigi.
Lebih parah apabila golongan terbabit turut merekrut lebih ramai ahli untuk mengikuti kursus pemasangan venir tiruan.
Venir merupakan salah satu perawatan oral dengan menampal lapisan putih pada sebahagian gigi hadapan bagi mendapatkan warna serta susunan yang cantik dan sekata.
Seorang doktor gigi, Dr. Syarifah Fazlina Syed Fadzil berkata, kebanyakan mangsa hanya mengecapi kecantikan gigi buat sementara sebelum ditimpa dengan masalah dan perlu menambah kos untuk menanggalkan venir serta membuat rawatan di klinik pergigian bertauliah.
Katanya, ramai wanita datang ke kliniknya di Terengganu dan Pahang untuk menanggalkan venir tiruan itu selepas mengalami masalah mulut busuk dan gusi berdarah kerana kaedah itu.
“Mereka menyesal kerana mula menerima kesan negatif, ibarat cantik seketika, tetapi menderita selamanya.
“Kebanyakan mangsa adalah golongan wanita yang obses dengan kecantikan dan mengidamkan gigi yang tersusun indah dan putih berseri,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Dr. Syarifah Fazlina memberitahu, paling menakutkan apabila struktur enamel (lapisan gigi asli) semakin menipis apabila venir itu dibuang dan gigi tersebut berisiko rosak dan tidak boleh diselamatkan lagi selain dicabut.

Katanya, lapisan venir tiruan yang dipasang juga mudah pecah kerana ditampal dengan gam yang tidak berkualiti.
“Material venir yang digunakan doktor ‘tepi jalan’ itu sukar dikenal pasti menyebabkannya susah untuk ditanggalkan. Venir asli diperbuat daripada material komposit atau porselin,” ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan mangsa terpedaya apabila menyangka perkhidmatan venir yang ditawarkan itu dilakukan oleh pakar dengan menggunakan peralatan khas.
“Kaedah pemasangan pendakap gigi palsu kini tidak lagi mendapat sambutan kerana kesedaran pengguna ekoran pendedahan pihak media, jadi mereka beralih kepada venir,” katanya.
Dr. Syarifah Fazlina berkata, doktor tidak bertauliah itu juga licik apabila memanipulasi artis tempatan dan individu yang popular di media sosial untuk menarik minat pelanggan.
“Pemasangan dilakukan di lokasi tersorok seperti inap desa atau bilik hotel bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Mengikut rekod, individu menawarkan perkhidmatan pergigian tanpa lesen boleh didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 27 September 2021, Kosmo! melaporkan, trend pemakaian pendakap gigi palsu untuk kelihatan cantik terutama dalam kalangan remaja wanita memberi kesan buruk kepada kesihatan gigi termasuk gusi berdenyut dan hilang tulang rahang.
Lebih membimbangkan apabila perkhidmatan itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertauliah dengan caj semurah RM300.-K! ONLINE














