fbpx

Jangkitan boleh cecah 34,000 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Angka jangkitan harian Covid-19 di negara ini diramalkan mampu mencecah sehingga 34,000 kes sehari dalam tempoh dua minggu lagi berdasarkan bacaan nilai kadar keboleh jangkitan (Rt) melebihi 1.5 yang dicatatkan semalam.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, lonjakan kes baharu itu mampu dicapai akhir bulan ini sekiranya bacaan Rt seluruh negara terus merekodkan pertambahan nilai secara berterusan.

“Peningkatan kes Covid-19 khususnya daripada varian Omicron juga merupakan ‘super spreader’ itu tercetus daripada pergerakan orang ramai dua ­minggu lalu ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kesannya mula dirasai ketika ini dan berkemungkinan terus melonjak hingga 34,000 kes dalam tempoh dua minggu lagi memandangkan bacaan Rt terus meningkat setiap hari,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan bacaan Rt di seluruh negara merekodkan nilai 1.51 berbanding hanya 1.2 yang direkodkan beberapa hari lalu.

Labuan mencatatkan bacaan nilai Rt paling tinggi iaitu 2.17 d­iikuti Sarawak (1.9), Sabah (1.68) dan Perlis (1.55).

Bagaimanapun, katanya, lonjakan kes dalam tempoh dua minggu itu boleh disifatkan sebagai terkawal sekiranya kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan jumlah kematian tidak di tahap kritikal.

“Berbeza pada tahun lalu, jumlah kematian dan penggunaan katil ICU begitu seiring dengan peningkatan kes, tetapi ketika ini, keadaannya masih terkawal susulan kejayaan negara melaksanakan program vaksinasi.

“Justeru, negara masih mempunyai peluang cerah untuk mengawal penularan wabak itu sebelum Aidilfitri sekiranya rak­yat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan,” jelasnya.

Berdasarkan pematuhan ketat SOP oleh rakyat, Dr. Hanafiah meramalkan kes harian Co­vid-19 berupaya turun di bawah paras 3,000 sehari dalam tempoh enam minggu lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, Dr. Hanafiah menjelaskan sistem kesihatan negara masih lagi terkawal.

“Paling penting, kerajaan ja­ngan panik dan perlu sentiasa bermain dengan data Covid-19. Meskipun kes tinggi, tetapi kadar vaksinasi berada pada landasan memberangsangkan,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI