fbpx

Jangan alpa daftar vaksin untuk anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / PUQTRA HAIRRY

SUDAHKAH anda mendaftar suntikan vaksinasi untuk anak berumur lima hingga 11 tahun. Vaksin untuk golongan berkenaan telah pun bermula pada 3 Februari lalu.

Sambutan masih ‘dingin’, namun terlalu awal untuk menolak imunisasi ini.

Berdasarkan Kementerian Kesihatan, lebih empat juta golongan itu layak mendapat suntikan imunisasi Covid-19.

Sehingga kini, lebih 500,000 kanak-kanak telah mendaftar. Dos Pfizer yang diberikan kepada mereka adalah satu pertiga daripada dos diberikan kepada golongan dewasa.

Hasil dapatan kajian klinikal vaksin menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap virus Covid-19.

Sehubungan itu pakar berpendapat perlindungan vaksinasi penting buat golongan kanak-kanak yang dianggap paling berisiko untuk mengurangkan tahap keseriusan jangkitan sekiranya mereka dijangkiti virus pembunuh itu.

Malah ia juga satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak daripada mengalami gejala berat yang disebut sebagai Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).

Sindrom ini adalah keadaan di mana bahagian tubuh yang berbeza dapat berlaku keradangan termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata atau organ pencernaan.

Bagaimanapun penulis faham, ramai ibu bapa yang masih ragu-ragu dan mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat terhadap program vaksinasi kanak-kanak.

Situasi ini sama seperti mula-mula program vaksinasi golongan dewasa dan remaja berusia 12 tahun dan ke atas.

Pelbagai pandangan disuarakan mereka, mahu melihat kesan pengambilan vaksinasi ini. Mengikut mereka jika golongan dewasa pun tidak tahan kesannya sehingga ada yang demam berhari-hari bagaimana pula kanak-kanak, bolehkah mereka menanggungnya?

Malah ada pandangan yang mengatakan kanak-kanak kalau dijangkiti biasanya mengalami gejala ringan atau tidak menunjukkan simptom.

Seperti mana kita mengambil suntikan anak-anak daripada bayi begitu juga setiap ibu bapa mahukan perlindungan terbaik buat zuriat masing-masing.

Pengambilan vaksin telah menunjukkan keberkesanan ketika ini apabila pesakit berada dalam kategori 3, 4 dan 5 menunjukkan penurunan ketara.

Kesan pengambilan vaksin juga masih rendah berbanding dijangkiti virus pembunuh. Penulis sendiri melihat kesengsaraan rakan yang tidak boleh berjalan dengan betul setelah dijangkiti Covid-19 kategori 4. Sehingga kini bergantung pada kerusi roda.

Bagaimanapun, kita raikan perbezaan pendapat dan pandangan masing-masing. Jangan mudah mengecam atau menghukum kerana hanya ibu bapa sendiri tahu keadaan anak masing-masing.

Buatlah pilihan terbaik untuk anak-anak berumur lima hingga 11 tahun agar kita semua dilindungi. Ada simptom terus lakukan ujian, kes makin naik, tidak mustahil angka mencecah 30,000 minggu depan.

Belum vaksin, terus ketatkan prosedur operasi standard (SOP) anak-anak seperti mana yang kita lakukan kini. Ibu bapa jangan alpa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI