fbpx

Dos penggalak bantu selamatkan rakyat Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LONDON – Kadar kemasukan ke hospital akibat wabak Covid-19 di Britain berkurang sehingga separuh, yang didorong oleh suntikan dos penggalak, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Sejak pertengahan Disember lalu, pengurangan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital-hospital Britain adalah seramai 105,600 orang.

Ketua agensi kesihatan negara itu menganggarkan bahawa suntikan dos penggalak vaksin Covid-19  berjaya mencegah sebanyak 13,000 kemasukan ke hospital dalam masa seminggu bagi tempoh sebulan setengah yang lalu.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mengedarkan dos penggalak secara meluas kepada penduduk Britain ketika varian Omicron mula menular pada Krismas tahun lalu.

Secara purata, seramai 12,031 pesakit dimasukkan ke hospital setiap minggu sejak 13 Disember lalu, dan angka itu telah berkurang kepada 10,197 sejak tujuh hari lalu.

Kadar kemasukan hospital, kata NHS, dipercayai meningkat secara berganda sekiranya suntikan dos penggalak tidak diberikan secara meluas.

Ketua Imunisasi Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), Dr. Mary Ramsay berkata, situasi tersebut adalah bukti kukuh bahawa suntikan dos penggalak memberikan perlindungan penting semasa varian Omicron menular.

“Pemberian dos penggalak telah dan akan terus mencegah beribu-ribu penduduk daripada mengalami jangkitan teruk dan kemasukan ke hospital sekali gus mengurangkan tekanan terhadap NHS.

“Dos penggalak adalah penting ketika dunia terus berdepan dengan angka kes Covid-19 yang tinggi. Jadi, saya menggalakkan setiap orang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak secepat mungkin,” katanya.

Menurut data UKHSA, suntikan dos penggalak telah mencegah sebanyak 4,000 kemasukan ke hospital dalam kalangan penduduk berusia antara 25 hingga 44 tahun. 

Bagi individu berusia 45 hingga 64 tahun pula, purata 14,300 kemasukan ke hospital dapat dicegah selain 87,300 untuk mereka yang berumur melebihi 65 tahun.

Setakat ini, sebanyak 37.6 juta penduduk Britain yang layak telah pun menerima suntikan dos penggalak manakala 11 juta lagi menerima dua suntikan vaksin Covid-19.

Seramai 10,734 pesakit direkodkan di hospital-hospital di England pada masa ini, berkurang 14 peratus berbanding minggu lepas.

“Kami terus melihat terdapat petanda-petanda memberangsangkan di seluruh negara dengan kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital semakin berkurang,” kata seorang pakar dari UKHSA, Dr. Colin Brown.

Setakat Rabu lepas, angka kes Covid-19 yang dicatatkan di Britain adalah sebanyak 66,638, susut satu perempat berbanding Khamis lepas dengan jumlah kematian turut menurun sebanyak satu pertiga kepada 206 kematian.

Situasi itu membolehkan Perdana Menteri, Boris Johnson mengumumkan pemansuhan semua sekatan berkaitan Covid-19 di Britain hujung bulan lalu termasuk kewajipan kuarantin kendiri sekiranya seseorang itu diuji positif Covid-19. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI