fbpx

Helikopter AW 139 tingkatkan mobiliti TUDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HISHAMMUDDIN ke Pangkalan Udara Butterworth semalam, bagi menghadiri Program Pengenalan Pesawat AW 139 yang menggantikan helikopter Nuri.

SEBERANG PERAI – Kementerian Pertahanan mengambil langkah strategik bagi memastikan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa efisien dengan memiliki empat buah helikopter Leonardo AW 139 (AW 139) melalui kaedah sewaan.

Ia bagi mengisi kekosongan perkhidmatan helikopter Nuri yang ditamatkan hasil persetujuan kabinet pada Ogos 2019, selain menampung penugasan 12 buah helikopter EC725AP yang sedang berkhidmat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyewaan helikopter AW 139 daripada pihak swasta itu selari dengan perancangan dan salah satu teras di bawah Pelan Tindakan 2022 dalam meningkatkan lagi kesiagaan serta keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia dilaksanakan atas sebab menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasi kerana ia sedikit sebanyak mengganggu peranan 12 buah helikopter EC725AP dalam penugasan Combat Search and Rescue, Tactical Airlift dan Utiliti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan 4 Dimensi ATM.

“Bagi menampung penggunaan Helikopter EC725AP, Kabinet pada 22 Januari 2020 bersetuju agar penggantian Nuri dilaksanakan menggunakan kaedah jangka pendek secara leasing dan menerusi kaedah jangka sederhana untuk perolehan baharu.

“Kaedah ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding melaksanakan pembelian helikopter baharu, malah membolehkan TUDM memanfaatkan aset yang diperlukan dalam tempoh masa yang lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengenalan Pesawat AW 139 di Pangkalan Udara Butterworth, di sini semalam.

AW 139 mampu melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik buat TUDM.

Pada program berkenaan, Hishammuddin turut meluangkan masa kira-kira 30 minit mengikuti sesi familiaritation flight pesawat berkenaan di sekitar ruang udara negeri ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, dalam tempoh sewaan AW 139, ia dilihat membantu dalam memastikan aircraft hours, kos operasi dan penyelenggaraan EC725AP lebih efektif.

“Ia juga akan mengekalkan kompetensi anak kapal helikopter Nuri dan menjadi platform penting kepada fleet helikopter TUDM terutama anak kapal Nuri untuk mengembalikan semula kompetensi dan kepakaran mereka, seterusnya memanfaatkan TUDM.

“TUDM memilih AW 139 kerana kemampuannya melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik selain berkeupayaan melaksanakan peranan dan tugas utiliti fleet helikopter TUDM, serta mampu beroperasi pada waktu siang atau malam,” katanya lagi.

Selain kaedah sewaan, pembelian helikopter baharu turut berada dalam perancangan masa hadapan TUDM selepas perancangan penggantian Nuri dibuat untuk dilaksanakan bermula 2026.

Hishammuddin bergambar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima Tentera Udara serta Pegawai dan Anggota TUDM di Hanger No 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth.

Sejumlah 12 helikopter akan diperoleh pada fasa 1 (Rancangan Malaysia Ke-13 iaitu dari 2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 helikopter lagi akan diperoleh pada fasa 2 (Rancangan Malaysia Ke-14 iaitu dari 2031 hingga 2035).

Menurut Hishammuddin lagi, sewaan helikopter berkenaan dibuat secara telus dengan pemberian tender secara terbuka kepada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. selaku pihak yang berkelayakan.

“Sebanyak empat buat pesawat AW 139 akan digunakan TUDM dalam kontrak sewaan ini dan buat masa ini, tiga pesawat diterima selain sebuah lagi dijadual diterima pada Mei depan.

“Dari sudut kaedah sewaan helikopter AW 139 ini, ia mengguna konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM), yang mana kesemua kos penyelenggaraan pesawat adalah di bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter ini.

“Pengoperasian helikopter ini akan dikendalikan oleh No. 3 Skuadron yang sebelum ini mengoperasikan helikopter Nuri,” ujarnya.

Sementara itu, pada sesi lawatan tersebut, Hishammuddin sempat membuat tinjauan ke Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Butterworth yang sebahagiannya telah selesai dan sedang dinaiktaraf bagi menjaga kebajikan warga tentera.

HISHAMMUDDIN turut meluangkan masa meninjau kediaman seorang anggota TUDM di RKMAT Butterworth yang telah selesai dinaiktaraf.

Menurut beliau, penaiktarafan RKMAT itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dengan menggabungkan dua unit perumahan menjadi satu, memandangkan keluasan RKMAT sedia ada iaitu 850 kaki persegi (78.9 meter persegi) tidak lagi menepati kelayakan semasa iaitu pada 1100 kaki persegi (102.1 meter persegi).

“Di PU Butterworth ini sahaja, sebanyak 288 unit akan digabungkan menjadi 144 unit, yang mana 60 unit daripadanya telah siap menerusi tiga fasa.

“Fasa 4 bakal dimulakan dalam masa terdekat dan ia akan melibatkan 168 unit asal yang akan digabungkan menjadi 84 unit.

“Blok yang akan dinaiktaraf ini merupakan pangsapuri kelas G yang menempatkan anggota berpangkat Koperal (Udara) dan ke bawah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI