JAKARTA – Sebuah helikopter yang membawa lapan orang dilaporkan hilang dan dipercayai terhempas di Sanggau, wilayah Kalimantan Barat, lapor portal berita Jakarta Globe.
Pihak berkuasa mengesahkan helikopter yang membawa dua juruterbang dan enam penumpang itu terputus hubungan awal pagi semalam.
Laporan awal mencadangkan helikopter tersebut meletup berhampiran Bukit Puntak sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan).
“Kami menerima maklumat bahawa helikopter itu meletup di Bukit Puntak di Desa Tapang Tingang pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) tetapi kami masih mengesahkan laporan itu,” kata seorang pegawai Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sanggau, Sigit Purnomo.
Ia dalam perjalanan dari Melawi ke ibu negeri wilayah Kalimantan Barat, Pontianak.
Media tempatan melaporkan bahawa helikopter itu mungkin membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak sawit Karunia Prima Nastari, namun pihak berkuasa belum mengesahkan identiti penumpang.
Usaha mencari dan pengesahan sedang dijalankan. – AGENSI














