fbpx
RAMAI pengusaha kedai makan bergantung kepada kehadiran pengunjung untuk memastikan perniagaan mereka terus berkembang. – Gambar hiasan

‘Kami baharu sahaja mahu bernafas’ – peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peningkatan kes positif Covid-19 yang melebihi angka 11,000 semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peniaga mengenai kemungkinan kerajaan akan membuat sekatan pergerakan bagi membendung penularan jangkitan wabak tersebut.

Rata-rata peniaga yang ditemui mengakui, mereka kini semakin tertekan dan berharap tiada sebarang pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Menurut peniaga berkenaan, kebanyakan daripada mereka boleh diibaratkan baru kembali bernafas selepas melalui detik hitam dengan menanggung kerugian besar akibat penutupan operasi perniagaan.

Di Pulau Pinang, peniaga makanan, Mohd. Hafizul Fadli Hatip, 40, merayu kepada kerajaan agar agar PKP tidak dilaksanakan semula dan meminta pihak berkaitan mencari mencari penyelesaian terbaik bagi menurunkan kes jangkitan Covid-19.

“Kami baharu sahaja hendak ‘bernafas’ selepas hampir dua tahun perniagaan kami terjejas ekoran penutupan pelbagai sektor ekonomi.

“Disebabkan tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi, ada dalam kalangan rakan niaga yang terpaksa menutup perniagaan,” katanya.

Jelas Mohd. Hafizul, dia telah menghabiskan banyak modal termasuk menggunakan semua wang simpanannya bagi meneruskan perniagaannya.

“Sejak pintu sempadan negeri dibuka hujung tahun lalu, ramai peniaga yang gembira dan merasakan inilah masa untuk mereka mencari rezeki.

“Kalau boleh, biarlah keadaan ini dikekalkan,” ujarnya.

Di Shah Alam, Selangor, kebimbangan turut dirasai seorang pengusaha kantin, Nor Hidayu Abdullah, 33, selepas dia pernah mengalami kerugian mencecah RM70,000 akibat perniagaannya ditutup selama lapan bulan.

Menurut Nor Hidayu, pelaksanaan PKP sebelum ini benar-benar menjadi detik hitam apabila perniagaannya hampir bungkus sepenuhnya.

Lebih menyedihkan apabila dia terpaksa mengorek tabung sendiri sebanyak RM50,000 bagi menampung keperluan harian selain untuk membayar gaji 12 orang pekerjanya.

“Tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan PKP dan boleh papa kedana dibuatnya. Hendak dapatkan modal sebelum ini pun susah sebab bilangan pelanggan masih berkurangan.

“Tambahan pula apabila berlakunya kenaikan harga barang yang menjejaskan kos operasi kami,” jelasnya.

Gambar hiasan

Di Langkawi, Kedah, pemilik Warung Coffee House di Pantai Chenang, Suhairadhi Shahbudin, 42, berkata, dia tidak yakin dapat meneruskan perniagaannya sekiranya PKP dilaksanakan lagi.

“Kami peniaga di Pantai Chenang memang bergantung sepenuhnya kepada pelancong untuk terus kekal berniaga.

“Kalau PKP lagi, mungkin kedai yang dibuka sejak 2017 ini terpaksa ditutup kerana wang simpanan dan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) telah habis digunakan,” katanya.

Bagi peniaga pakaian, Idayu Muslim, 34, dia mengharapkan kehadiran orang ramai ke pusat peranginan itu seperti sebelum ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan tempatan.

“Walaupun industri pelancongan telah dibuka semula sejak September lalu, namun hasil yang diperoleh hanya sekadar boleh membayar hutang yang tertunggak dan hampir tiada baki untuk simpanan.

“Saya tidak mahu PKP dilaksanakan dan jika dilaksanakan juga, mungkin hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja,” tambahnya.

Di Kota Bharu, Kelantan, peniaga restoran, Wan Azizi Wan Abd. Ghani, 57, mengakui kehidupan mereka pasti sukar sekiranya kes teruk melonjak sehingga memaksa kerajaan membuat sekatan pergerakan.

“Rakyat akan kembali hidup dalam keadaan tertekan kerana tidak boleh menjalankan aktiviti terutamanya bagi peniaga kecil. Saya pula hanya bergantung hidup dengan berniaga untuk menyara keluarga.

“Saya harap kerajaan mengambil langkah-langkah lain agar ekonomi negara stabil ­seperti sedia kala meskipun kes Covid-19 dijangka terus meningkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN