fbpx

19 saksi beri keterangan dalam kes Shahrir Samad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrir ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali semasa pengurusan kes kali pertama kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Dalam prosiding hari ini, Mohd. Afif berkata seramai 19 saksi termasuk pegawai penyiasat akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

“Kes ini dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah lima untuk didengar di hadapan Yang Arif (Muhammad Jamil). Tarikh bicara sebelum ini telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Jenayah lima, namun terdapat pindaan pada tarikh bicara.
Pihak-pihak telah mencapai persetujuan untuk perbicaraan.

Tarikh-tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos dan 5 hingga 8 September serta 3 hingga 6 Oktober ini.

Sebelum ini, kes itu disebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada April 6 hingga 8, 11-14, 18-21 dan Mei iaitu 17-19, 23-25.

Turut hadir dalam prosiding hari ini, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Shahrir dan peguam itu tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Hakim Muhammad Jamil berkata tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana mahkamah ini mempunyai beberapa kes lain yang telah ditetapkan untuk perbicaraan.

“Tarikh perbicaraan (kes Shahrir Samad) sebelum ini dilapangkan dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos dan 5 hingga 8 September dan tambahan tarikh bicara pada 3 hingga 6 Oktober,” katanya.

Mengikut pertuduhan Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam penggubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia adalah Shahrir tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.  -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI