fbpx

Lokman sudah padam semua hantaran fitnah Ketua Hakim Syarie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam telah memadam kesemua hantaran (posting) berunsur fitnah terhadap Ketua Hakim Syarie Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube.

Perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im ketika dihubungi akhbar di sini hari ini selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Peguam itu berkata, Lokman selaku defendan telah memadam hantaran tersebut dalam tempoh 24 jam seperti mana yang diarahkan oleh mahkamah pada 20 Januari lalu.

Ia setelah mahkamah membenarkan injunksi ex-parte (sebelah pihak) sebelum ini.

“Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman memohon tempoh masa untuk memfailkan afidavit jawapan dalam permohonan injunksi itu,” katanya.

Turut serta dalam prosiding itu peguam Fazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah mengarahkan Lokman memadam kesemua hantaran (posting) di akaun Facebook dan YouTube miliknya yang mengaitkan Mohd. Na’im dengan dakwaan salah laku seksual dalam tempoh 24 jam.

Ia selepas hakim Rozana membenarkan permohonan injunksi interim ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon oleh Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu.

Lokman atau ejennya tidak boleh menerbitkan, berkongsi atau menyiarkan semula hantaran-hantaran (posting) atau pernyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Na’im memfailkan saman fitnah terhadap Lokman dan menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta berhubung tujuh hantaran (posting) yang dibuat defendan (Lokman) di antara 10 dan 14 Januari lalu di laman sosial milik defendan.

Hantaran-hantaran tersebut antara lain mengaitkan plaintif, Mohd. Na’im dengan dakwaan salah laku seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar Datin.

Lokman turut mendakwa perilaku Mohd. Na’im yang tidak bermoral itu telah menyebabkan negara mengalami pelbagai musibah.

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran yang dibuat di Facebook dan Youtube serta perintah injunksi bagi menghalang Lokman atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua cara sekalipun.

Mohd. Na’im turut menuntut agar Lokman membuat permohonan maaf terhadap plaintif dan akan disiarkan ke laman-laman sosial milik defendan dan juga portal berita serta media tempatan.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI