SEAWAL pukul 7 pagi, kira-kira 20 orang ahli Nismilan Runner Club (NRC) mula berkumpul di kawasan parkir di Taman Tasik Bandar Baru Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Mereka beriadah sambil berkelah di situ sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Januari lalu.
Namun, tanpa diduga, aktiviti santai tersebut yang diselit dengan acara larian secara berganti-ganti sejauh 1 kilometer (km) itu telah meragut nyawa salah seorang daripada mereka, Mohd. Husni Mubarak, 41, yang rebah secara tiba-tiba.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SEAWAL pukul 7 pagi, kira-kira 20 orang ahli Nismilan Runner Club (NRC) mula berkumpul di kawasan parkir di Taman Tasik Bandar Baru Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Mereka beriadah sambil berkelah di situ sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Januari lalu.
Sudah menjadi kelaziman NRC untuk mengatur aktiviti kecergasan terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan tahap stamina ahli sentiasa berada pada tahap optimum.
Namun, tanpa diduga, aktiviti santai yang diselit dengan acara larian secara berganti-ganti sejauh 1 kilometer (km) itu telah meragut nyawa salah seorang daripada mereka, Mohd. Husni Mubarak, 41, yang rebah secara tiba-tiba.
“Pada awalnya, kami hanya merancang untuk berkelah, tetapi timbul pula idea untuk diadakan aktiviti berlari secara berganti-ganti sejauh 1km.
“Arwah yang menyertai kumpulan pertama bersama empat lagi pelari sempat menyempurnakan satu pusingan larian sebelum berehat sambil berbual-bual dengan rakan-rakan lain.
“Kira-kira 10 minit selepas itu, arwah rebah secara tiba-tiba dan badannya ketika itu seakan-akan diserang sawan menyebabkan kami semua panik,” kata Luqman Hakim Abdul Halim, 33.
Luqman Hakim yang digelar sebagai kapten dalam NRC turut memberitahu, mereka lalu menghantar Mohd. Husni ke sebuah hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan kecemasan memandangkan ketika itu arwah masih menunjukkan tanda-tanda bernafas.

Namun, kata Luqman Hakim, mereka kemudian dimaklumkan oleh doktor yang merawat Mohd. Husni bahawa arwah tidak dapat diselamatkan lagi, selain memberitahu, antara punca kematiannya disebabkan masalah berkaitan jantung.
“Ahli keluarga arwah ada maklumkan bahawa dua hari sebelumnya, Mohd. Husni menjalankan aktiviti berbasikal sejauh 100km bersama rakan-rakannya dan mengalami demam sehari kemudian. Arwah memang dikenali sebagai seorang yang sangat aktif bersukan,” katanya.
Sebelum khabar duka menimpa Mohd. Husni, kejadian hampir sama turut berlaku terhadap bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau Shebby Singh yang meninggal dunia ketika berbasikal.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam 12 Januari lalu, mendiang yang berusia 61 tahun dikatakan berbasikal bersendirian di Bukit Sunway Nusajaya di Iskandar Puteri, Johor sebelum mengalami sesak nafas dan rebah.
Sebelum ini, kita juga sering mendengar mengenai banyak kejadian individu meninggal dunia ketika melakukan senaman atau bersukan sama ada berbasikal, berlari, bermain badminton, bola sepak atau futsal.
Bagi bekas raja pecut negara, Nazmizan Muhammad, 41, beliau memandang perkara itu sebagai isu serius dan perlu diberi perhatian khususnya oleh para atlet dan individu yang aktif bersukan.
Katanya, ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini yang kurang mengambil berat tentang beberapa perkara ketika ingin melakukan apa-apa jenis senaman sehingga menyebabkan mereka terdedah risiko rebah atau meninggal dunia ketika bersenam.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai bekas atlet profesional, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian dan dititikberatkan ketika bersenam atau bersukan.
“Pertama ialah tahap kecergasan diri diikuti tahap kesihatan dan kaedah pemakanan yang betul. Saya lihat ramai dalam kalangan anggota masyarakat tidak mengendahkan tiga perkara ini.
“Malah, pada pendapat saya, ramai dalam kalangan mereka terikut-ikut ajakan kawan-kawan sedangkan mereka sebenarnya tidak mampu untuk melakukan aktiviti sukan itu disebabkan faktor-faktor tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Muhammad Rahmani Jaffar berkata, kebanyakan kes kematian ketika bersenam dan bersukan disebabkan dua perkara utama iaitu kematian mengejut (sudden cardiac death) atau SCD dan serangan jantung.
Menjelaskan mengenai SCD, kata beliau, ia merupakan kematian yang berlaku apabila individu berkenaan tidak mengetahui bahawa dirinya menghadapi masalah jantung dan hanya mengetahui akan masalah kesihatan tersebut apabila rebah semasa atau selepas melakukan aktiviti senaman.
Berlainan kes kematian disebabkan serangan jantung pula, biasanya individu terlibat sudah mengetahui dirinya mempunyai masalah jantung dan dapat merasakan simptom-simptom tertentu seperti sakit dada, sesak nafas atau pening sebelum rebah dan meninggal dunia.
“Biasanya, kematian disebabkan oleh SCD melibatkan golongan muda berusia antara 16 hingga 35 tahun yang tidak tahu mereka sebenarnya bermasalah kesihatan khususnya berkaitan jantung.
“Jadi mereka tidak dapat mengesan simptom atau tanda-tanda awal menyebabkan mereka terus bersukan tanpa henti atau melebihi had sepatutnya.
“Kematian disebabkan serangan jantung pula biasanya melibatkan individu berusia 35 tahun ke atas yang sudah mengetahui diri mereka mempunyai masalah kesihatan dan jantung, tetapi tetap bersukan dan ada kalanya melebihi had,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya kes-kes kematian semasa bersukan.
Antaranya adalah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan khususnya pemeriksaan jantung sekurang-kurangnya setahun sekali terutama bagi mereka yang aktif bersukan.
Selain itu, mereka juga perlu melakukan senaman mengikut keupayaan badan berdasarkan Formula Karvonen iaitu cara paling mudah bagi mengukur intensiti kadar nadi optima.
“Berdasarkan Formula Karvonen ini, kita dapat tahu tahap mana latihan yang boleh kita lakukanberdasarkan kadar degupan jantung kita pada masa sekarang.
“Sebagai contohnya, bagi individu yang tiada masalah jantung, mereka boleh melakukan senaman pada tahap optimum, manakala mereka yang mempunyai masalah jantung pula mungkin dinasihatkan untuk bersenam pada kadar intensiti rendah atau sederhana sahaja,” katanya.
Tambahnya, apa juga kaedah yang digunakan, perkara paling penting adalah setiap individu perlu amalkan konsep listen to our body dengan berhenti bersenam atau bersukan sekiranya badan sudah memberi isyarat tertentu seperti mula berasa sakit atau sebagainya bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
















