fbpx

Kematian Rayan rentap naluri keibuan Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEELOFA turut tersentuh dengan kematian Rayan.

PETALING JAYA – Naluri keibuan selebriti terkenal Neelofa cukup tersentuh atas pemergian seorang kanak-kanak lelaki, Rayan Awram yang tular seluruh dunia akibat terperangkap di dalam perigi buta selama lima hari.

Sebagai seorang ibu yang baru menyambut kelahiran bayi sulung lelaki bernama Muhammad Bilal pada minggu lalu, kisah kematian penuh tragis kanak-kanak berasal dari Maghribi itu mengundang kepiluan sehingga mengganggu emosinya sepanjang hari.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 33, berkongsi perasaan mengenang nasib yang menimpa kanak-kanak berusia lima tahun itu.

“Sebagai seorang wanita yang baru sahaja menjadi ibu juga kepada anak lelaki. Berita ini (kematian Rayan) benar-benar mengganggu fikiran saya sepanjang hari sejak semalam.

“Jadi sakit kepala bila tengok perkongsian tentang kisah Rayan,” tulisnya.

Pada waktu sama, isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu tidak sanggup untuk membayangkan perasaan keluarga kanak-kanak malang itu berdepan kehilangan anak tersayang.

“Tidak sanggup dan tidak boleh membayangkan perasaan keluarga anak syurga ini. Semoga Allah mudahkan urusan keluarganya untuk lalui ketentuanNya dan menanti Rayan di pintu syurga,” ujar Neelofa.

Menerusi hantaran berbeza yang dimuat naik dalam Twitternya pula, bekas pengacara program MeleTOP itu turut berdoa supaya Rayan ditempatkan di kedudukan tertinggi di dalam syurga Firdaus.

“Semoga kamu ditempatkan di syurga tertinggi Firdaus dan keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran. Al-Fatihah,” katanya.

Selain Neelofa, beberapa selebriti tanah air lain turut berkongsi rasa sedih atas kejadian yang menimpa Rayan dan turut mendoakan agar roh kanak-kanak itu ditempatkan dikedudukan tertinggi di syurga.

Perasaan sama turut dikongsi pelakon Memey Suhaiza yang mengharapkan syurga buat kanak-kanak malang itu.

Hati seorang ibu tersentuh. Al Fatihah buat adik Rayan! Yang bertarung seorang diri lebih 100 jam dalam lubang perigi yang gelap dan akhirnya Allah lebih mengetahui!

Buat ibu dan keluarga Rayan, sungguh kesakitan yang teramat apabila kematian anak yang disayangi. Namun, syurgalah tempat bermain buatmu Rayan,” tulis isteri pelakon Norman Hakim itu menerusi Instagram.

Menurut laporan media tempatan, difahamkan Rayan terjatuh ke dalam perigi milik bapanya ketika bermain di kawasan kediaman mereka di wilayah Chefchaouen pada petang Selasa lalu.

Bagaimanapun, Rayan disahkan sudah meninggal dunia ketika pasukan penyelamat berjaya menembusi perigi sedalam 32 meter itu semalam selepas lima hari terperangkap. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI