fbpx

TVET jadi pilihan pertama kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (kiri) semasa mempengerusikan Mesyuarat MTVET Negara secara telesidang di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang dalam akademik sebaliknya berupaya menyumbang tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang baharu yang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Malah, lepasan TVET mempu­nyai kebolehpasaran kerja yang tinggi ketika ini melalui usaha-usaha dilakukan kerajaan.

Menerusi pendigitalan pendidikan, negara dapat membangunkan modal insan berkualiti dengan penge­tahuan dan kemahiran terkini.

Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) yang diperakukan penubuhannya semalam akan terlibat secara langsung buat julung kalinya dalam pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GITC yang diperakukan pada Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) Negara itu akan terlibat khususnya dalam perkara berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Beliau berkata, keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.

“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

TENAGA kerja berkemahiran tinggi, terlatih dan berbudaya usahawan mampu dilahirkan melalui program TVET negara.

Menurutnya, mesyuarat bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET akan datang.

“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak terlibat untuk merapatkan jurang antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

“Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Di bawah Bajet 2022, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

“Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” katanya.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar tingkatan 1 agar mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan masing-masing.

“Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

“Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya.

KERAJAAN telah meminta KPM membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar tingkatan 1 agar mereka boleh membuat pilihan sesuai dengan kecenderungan masing-masing. – GAMBAR HIASAN

Beliau berkata, menyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

“Melalui kempen dan promosi ini, kita mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI