fbpx
WANITA takut lepaskan anak kepada bekas pasangan berperangai buruk dan kejam. - GAMBAR HIASAN

Trauma bekas suami kaki pukul, judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB, ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL, LIYANA RAMLI dan NUR SYAZWANA MANSOR

PETALING JAYA – Sikap buruk bekas suami yang sebelum ini cepat panas baran, kaki pukul, kaki perempuan dan kuat berjudi menjadi punca ibu tunggal menghalang anak-anak daripada berjumpa dengan bapa mereka.

Malah, sebahagian wanita juga enggan menyerahkan anak untuk dijaga oleh bekas suami yang berperangai buruk kerana bimbangkan keselamatan anak-anak.

Kisah silam perkahwinan yang kelam dan pengalaman pahit pernah dipukul si suami berulang kali telah menjadi pengajaran buat ibu tunggal, sekali gus menjawab persoalan mengenai punca bapa tunggal sukar untuk berjumpa anak-anak mereka.

Di Kuala Nerang, Kedah, seorang ibu tunggal terpaksa menghalang bekas suaminya daripada berjumpa dengan anak-anaknya atas faktor keselamatan.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam, 43, kini membesarkan sendiri tiga anak perempuannya berusia antara 10 hingga 19 tahun selepas berpisah dengan suami, enam tahun lalu.

Katanya, dia bukan sengaja mahu menghalang anak-anak berjumpa bapa mereka, namun sikap panas baran bekas suami menyebabkan anak-anak takut untuk berjumpa bapa kandung.

Katanya, selepas bercerai, bekas suaminya pernah cuba me­larikan anak-anak secara paksa sehingga mereka takut untuk bertemu lagi.

“Bekas suami pernah pergi ke sekolah anak-anak untuk membawa lari mereka sehingga anak-anak terpaksa bersembunyi di dalam semak kerana ketakutan selain mengganggu pelajaran anak-anak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mariam berkata, perasaan takut anak-anak bukan hanya tercetus selepas perceraian, malah sejak sebelum bercerai lagi.

“Anak-anak pernah dipukul dan mereka juga pernah melihat bekas suami memukul saya tanpa belas kasihan sehingga saya tekad membawa anak-anak lari dari rumah.

“Disebabkan itu, anak-anak menjadi fobia dan tidak dapat menerima kehadiran ayah mereka dan sebolehnya mahu mengelak daripada berjumpa,” katanya.

Tambahnya, tempoh 15 tahun melayari rumah tangga dengan bekas suami yang juga seorang penagih dadah merupakan sejarah hitam yang sukar dilupakan.

Di Kuala Lumpur, seorang ibu tunggal yang ingin dikenali sebagai Farah, 38, berkata, peristiwa hitam bersama bekas suami menjadikan dirinya kurang yakin untuk membiarkan puteri sulungnya berjumpa dengan bapa kandungnya sendiri.

“Masa anak saya masih kecil, suami mengambil tugas menja­ganya kerana dia baru sahaja diberhentikan kerja kerana syarikatnya bankrup, manakala saya pula sibuk bekerja untuk membantu keluarga.

“Disebabkan saya kurang masa di rumah, suami berani mengajak wanita lain untuk masuk ke rumah kami sehingga mengabaikan tanggungjawab menjaga anak,” katanya.

Jelasnya, disebabkan kecura­ngan bekas suami yang hanya leka melayan nafsu, anaknya hampir hilang nyawa apabila terhempap di bawah televisyen sehingga mengalami kecederaan parah pada kepala.

“Anak saya masa itu baru berusia setahun lebih dan bekas suami hanya biarkannya bermain di ruang tamu tanpa pengawasan sehingga berlaku insiden tersebut.

“Walaupun bekas suami dah minta maaf dan akui kesalahannya, peristiwa hitam tujuh tahun lepas masih kuat dalam ingatan saya,” ujarnya.

Tambah Farah, dia hanya mengizinkan bekas suaminya melihat anak melalui panggilan telefon dan masih belum bersedia melepaskannya untuk berjumpa secara bersemuka.

Di Ipoh, Perak, seorang ibu tunggal, Salawati, 42, yang terpaksa berpisah dengan bekas suaminya kerana sikapnya yang suka berjudi sehingga mengabaikan kebajikan anak-anak.

Dia kini membesarkan empat anak perempuannya sendirian selepas bercerai dengan suami­nya kira-kira 12 tahun lalu.

“Suami saya seorang kaki judi, jadi setiap malam apabila kalah judi dan pulang ke rumah, jika ada perselisihan faham, pasti saya akan dipukul.

“Dia pernah kata nak berubah dan membuka bisnes, tetapi bertahan tiga bulan sahaja, duit modal bisnes semua lesap begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perceraian, bekas suami pernah da­tang untuk menjenguk anak-anak, namun dia menghalang kerana lelaki itu langsung tidak pernah memberi nafkah seperti barang keperluan anak-anak semasa bersekolah dan sebagainya.

Kosmo! semalam melaporkan, golongan bapa tunggal mendakwa hanya mampu menatap wajah anak selama 15 minit se­minggu menerusi panggilan video, malah ada juga yang diberi tempoh dua jam seminggu untuk bertemu di ruang restoran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN