fbpx

Cabaran Malaysia di Olimpik Musim Sejuk bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEFFREY dan Aruwin membawa Jalur Gemilang mengetuai kontinjen negara pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Stadium Nasional sebentar tadi. - AFP

KUALA LUMPUR – Peluncur alpine ski negara, Aruwin Salehhuddin mencipta sejarah apabila muncul atlet wanita pertama Malaysia membuat penampilan di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, China bermula hari ini hingga 20 Februari nanti.

Aruwin, 17, yang layak secara merit berdasarkan kedudukannya dalam ranking dunia, akan bersaing dalam dua acara iaitu Giant Slalom wanita pada Isnin ini dan Slalom wanita dua hari kemudian.

Lebih manis, penyertaan Aruwin kali ini bakal mendapat sokongan padu daripada bapanya, Salehhuddin Ayob yang merupakan pengurus kontinjen negara.

ARUWIN akan bersaing dalam dua acara pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022. – IG ARUWIN SAL

Kehadiran Salehhuddin pastinya membakar semangat Aruwin kerana beliau sendiri pernah bergelar Olimpian ketika mewakili negara dalam acara kenu kategori K-1 lelaki pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Selain Aruwin, turut sama memnbawa Jalur Gemilang bersama-samanya ialah Jeffrey Webb yang membuat penampilan kedua berturut-turut selepas terdahulu pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Jeffrey, 23, akan turun beraksi dalam acara Slalom lelaki di Padang Alpine Ski Xiaohaituo di Yanqing, Beijing pada 16 Februari nanti.

JEFFREY akan mengambil bahagian dalam acara Slalom lelaki pada 16 Februari nanti. – AFP

Sebagai rekod, Malaysia diketuai Jeffrey dan Aruwin serta Chef de Mission (CDM), Moira Tan menjadi negara kelima berarak masuk ke Stadium Nasional pada upacara perasmian sebentar tadi.

Turut bersama dalam perarakan itu ialah Salehhuddin; jurulatih Aruwin, Bezjak Mladen; jurulatih Jeffrey, Ryan Shorter dan Pengurus Besar Kontinjen Malaysia, Wan Hor Fong.

KONTINJEN Malaysia menjadi negara kelima berarak masuk pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 sebentar tadi. – AFP

Ini adalah kali kedua Malaysia membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas terdahulu Jeffrey dan atlet figure skating, Julian Yee Zhi Jie mewakili negara pada edisi Pyeongchang 2018. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI