fbpx
VIRUS zombi dalam All of Us Are Dead tercetus disebabkan rasa sayang seorang bapa terhadap anaknya yang sering menjadi mangsa buli.

Luar biasa! Zombie Korea buat ‘hal’ lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ulasan naskhah ini ditulis, penulis baru tamat episod 10 siri arahan pengarah Lee Jae-kyoo dan Kim Nam-su yang berjudul All of Us Are Dead. Masih berbaki dua episod untuk habis tontonan.

Dari kaca mata penonton, apa lagi yang hendak diharapkan dengan cerita zombi, seperti sudah mati kutu.

Bercakap tentang sinematik dan naskhah kreatif Korea Selatan, penonton sepertinya juga sudah terlalu sering kali dimomokkan dengan rencah kisah sedemikian. Filem Train to Busan, siri Kingdom dan bermacam lagi kisah berpaksikan zombi lain telah dipaparkan.

Itu belum dihitung naskhah bertemakan sama dari Hollywood dan tidak terkecuali, pembikin filem Malaysia, Allahyarham Mamat Khalid juga ada siri zombi yang sungguh menggeletek hati.

Terbaharu, All of Us Are Dead meluncur dan ternyata, jangkaan klise penulis meleset jauh.

Tahun 2022 baru bercambah, namun industri kreatif Korea Selatan sekali lagi memberi tunjuk ajar berguna kepada global bagaimana untuk ‘menelanjangkan’ kisah zombi yang terkandung seribu satu pengajaran bersulam kualiti hebat untuk hiburan.

‘Soft spot’, pengarah bijak

All of Us Are Dead bukan hanya menjual kisah zombi yang barangkali sudah kedengaran klise.

Siri ini tersemat pelbagai nilai signifikan yang memberi pendidikan buat penonton. Isu sosial seperti buli di sekolah, ketidakstabilan sosial dan ekonomi yang merenjat serta kehidupan pada zaman berstatus pandemik antara yang menjadi penguat naskhah.

Selepas Squid Game, sekali lagi Korea Selatan membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak ketandusan idea.

Zombi pun zombilah tetapi dicernakan dengan kebijaksanaan sinematik tidak berbelah bahagi, idea yang tidak pernah kering dan mengalir sempurna serta perkembangan karakter bertaraf luar biasa.

Pengarah bijak bermain ‘tarik tali’ dengan emosi penonton. Graf naratif yang tidak membosankan, banyak babak dalam siri ini berbekas dalam jiwa penulis. Banyak jiwa terkorban disebabkan kebobrokan dan ketamakan kuasa, perihal tersebut memang tidak dinafikan.

Antara adegan yang masih basah di minda adalah ketika Lee Cheong-san (lakonan Yoon Chan-young) bertemu dengan ibunya. Dia bertemu dengan ibunya yang sudah bertukar menjadi zombi. Biarpun babak tersebut barangkali bersifat ‘ngeri’ buat segelintir, apabila berkait dengan ibu, itu adalah ‘soft spot’ yang mudah membadai gelora jiwa sesiapa.

Apa yang berlaku dalam adegan tersebut, penonton sendiri harus merasainya. Memang berkaca dan ‘bocor’ mata disebabkan rintihan Cheong-san.

Terjemahan luar biasa

Masih dalam topik perkembangan karakter, banyak watak dalam siri ini mempunyai kepentingan sendiri. Nam-ra (lakonan Cho Yi-hyun) merupakan antara yang terbaik diterjemahkan. Dia merupakan pelajar nombor satu dalam kelas, berwajah polos, namun sungguh jelita dengan penuh misteri.

Karakternya berkembang cukup cantik dan membuatkan penonton tidak sabar menantikan episod demi episod. Buat penulis, karakter Nam-ra umpama ‘Scarlet Witch’ kalau mengikut adrenalin MCU penulis yang kuat bergetar.

Watak antagonis dalam siri ini, Gwi-nam (Yoo in-Soo) juga layak untuk didendangkan. Paling liat bertemu ajal, karakternya membuatkan penonton tidak senang duduk dan ingin pecahkan skrin televisyen.

Selain Nam-ran, karakter lain yang mencuri perhatian adalah Ha-ri (lakonan Ha Seung-ri). Sejujurnya, karakter tersebut sangat heroik mengingatkan penulis kepada Katniss Everdeen dalam Hunger Games yang handal memanah.

Terjemahan karakter yang cukup hebat, walaupun sedikit minimum tetapi cukup berbekas.

Dari segi teknikal seperti sinematografi dan kesan bunyi, All of Us Are Dead berada pada kelas tersendiri. Apa yang paling utama adalah bagaimana pengarah bijak mendokumentasikan kisah zombi yang barangkali sudah berjuta kali diceritakan.

Amaran buat sesiapa yang belum sempat menonton, All of Us Are Dead bukan hanya kisah zombi. Ada banyak kisah lain yang membuka mata dan jiwa. Bagaimana ‘kanser’ bernama buli membuatkan manusia hilang pertimbangan dan merosakkan dunia.

POPULAR