fbpx
THENG WEE menunjukkan angpau-angpau bersulam yang ditawarkannya di kedai buku Van Hin Book Co di George Town, Pulau Pinang.

Angpau bersulam benang sutera trend terkini rai Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKET merah berisi wang tunai yang dihulur oleh sanak-saudara setiap kali masyarakat Tionghoa di seluruh dunia menyambut Tahun Baharu Cina mempunyai maknanya yang tersendiri.

Peket wang yang dipanggil angpau itu akan diberikan kepada kanak-kanak dan juga mereka yang belum berkahwin sebagai simbol tuah dalam sambutan perayaan itu.

Menurut sejarah Cina, tradisi pemberian angpau bermula pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing.

Kanak-kanak pada era itu menggunakan wang angpau untuk membeli bunga api, gula-gula dan kuih pada Tahun Baharu Cina.

Tradisi itu kemudiannya diteruskan sehingga kini, malah ibu bapa juga boleh menjadi penerima angpau yang diberikan oleh anak-anak mereka yang sudah berkahwin.

Menariknya, bukan jumlah isi wang di dalamnya sahaja yang dinanti-nantikan oleh penerima, malah corak dan rekaan peket angpau itu sendiri mempunyai tarikan, khususnya buat mereka yang gemar mengumpul peket angpau.

Menurut seorang penjual peket angpau di Pulau Pinang yang telah berpengalaman menjual sampul wang itu sejak puluhan tahun lalu, Chong Theng Wee, elemen seperti material, corak dan saiz pada peket angpau turut mempunyai peminat dan permintaannya yang tersendiri.

SELEKSI angpau bersulam yang laris di pasaran.

Theng Wee yang menjual angpau di kedai buku di Lebuh Carnarvon, George Town itu berkata, bersempena sambutan Tahun Harimau bagi tahun ini, dia menawarkan angpau jenis sulaman bagi memberi sedikit kelainan dalam pemberian peket berisi wang itu.

Baru-baru ini, media melaporkan angpau bersulam seperti ditawarkan Theng Wee itu adalah suatu yang boleh disifatkan sebagai pertama kali diperkenalkan di negara ini.

“Saya sudah menjual peket angpau sejak berpuluh tahun lalu dan kali ini, saya membawa masuk peket angpau jenis sulaman yang pada saya cukup cantik dan unik.

“Malah, ia habis dijual dalam masa hanya sebulan selepas saya mengimportnya dari China,” kata Theng Wee yang mengusahakan kedai buku Van Hin Book Co ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Bercerita lanjut, idea untuk mengimport angpau jenis sulaman itu timbul apabila Theng Wee melihat sampul wang jenis tersebut cukup popular dan mula dijual secara meluas di China.

Theng Wee mula terpikat dengan reka bentuk angpau itu kemudian memberanikan diri untuk membawa masuk angpau jenis tersebut untuk dijual di kedainya.

Malah, dia mengakui cukup terkejut apabila angpau itu mendapat sambutan cukup menggalakkan dalam kalangan pelanggan di premisnya, terutamanya bagi pelanggan tetap di Van Hin Book Co.

“Memandangkan produk tersebut juga sangat baharu dalam pasaran China, saya hanya mengambil dalam 200 hingga 300 keping angpau sulaman itu pada Disember tahun lalu. Ia kemudiannya habis dijual dalam tempoh sebulan,” ujarnya.

Jika diamati, angpau jenis sulaman itu cukup unik dan berbeza berbanding peket angpau jenis biasa memandangkan ia turut dihasilkan daripada material kain baldu yang lembut. Malah, apabila dipegang, pembeli boleh merasai sendiri kelembutan dan kehalusan jahitan atau sulaman benang sutera itu pada peket angpau tersebut.

Sulaman lazimnya pada motif seperti corak bunga atau tulisan itu dihasilkan dengan amat teliti, menyerlahkan sisi eksklusif pada seni penghasilannya.

Jelas Theng Wee, harganya juga beberapa kali ganda lebih mahal berbanding harga angpau biasa apabila dijual pada harga RM6 sekeping.

“Angpau jenis kertas biasanya dijual pada harga sekitar RM3 bagi satu peket yang mengandungi 10 keping angpau.

“Namun, bagi angpau sulaman ini, harganya jauh lebih mahal dan bernilai RM6 sekeping,” katanya.

Pemberian angpau menjadi tradisi dalam kalangan masyarakat Cina pada Tahun Baharu
Cina.– GAMBAR HIASAN

Perbezaan harga bagi peket wang itu mungkin terletak pada kerumitan dalam penghasilannya.

Malah, Theng Wee berkata, saiz peket wang sulaman itu juga adalah lebih besar.

“Jika dilihat, ia mirip dengan saiz dompet wanita,” katanya.

Angpau sulaman itu juga menampilkan enam rekaan berbeza yang boleh dipilih oleh pembeli.

Jelas Theng Wee, corak yang dipamerkan pada angpau sulaman itu juga lazimnya bersifat universal dan sesuai untuk digunakan sepanjang zaman.

“Biarpun tahun ini adalah Tahun Harimau, namun penjual atau pereka angpau lazimnya tidak meletakkan imej tahun-tahun tertentu dalam penghasilan angpau.

“Hal ini kerana apabila kita sudah memasuki tahun lain, angpau daripada corak atau rekaan khusus itu sudah tidak boleh digunakan.

“Oleh itu, corak sulaman pada peket angpau biasanya lebih bersifat universal seperti corak bunga dan juga corak burung Phoenix atau juga dikenali sebagai Fengshuang,” katanya.

Jelasnya lagi, corak pada angpau seperti bunga-bungaan atau rusa juga mempunyai maksudnya yang tersendiri dan lazimnya membawa maksud yang baik.

Ditanya adakah dia akan menawarkan peket jenis sama bagi Tahun Baharu Cina akan datang, Theng Wee berkata, dia belum mempunyai perancangan mengenainya.

“Bagi saya, trend sebegini lazimnya mempunyai jangka hayat yang pendek.

“Apa yang anda fikir menarik dan unik pada tahun ini mungkin tidak lagi relevan pada tahun hadapan. Oleh itu, saya akan menunggu apa pula trend bagi tahun hadapan dan mungkin membawa masuk angpau jenis itu untuk dijual kepada pembeli,” katanya.

Theng Wee turut mengambil tempahan bagi syarikat atau individu yang berminat untuk menghasilkan angpau yang lebih memiliki sentuhan peribadi untuk diberikan kepada para penerima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN